Pulau Pangkor: Pulau bebas cukai mesra adab sosial

Pulau Pangkor: Pulau bebas cukai mesra adab sosial

Pengistiharan Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai (PBC) oleh Perdana Menteri ketika pembentangan bajet kelmarin adalah satu pengumuman yang telah dijangkakan tetapi mengejutkan.

Ini kerana dari sudut geopolitik Pulau Pangkor adalah kawasan pelancongan yang memang terkenal di Perak apatah lagi ianya di kemudikan oleh Menteri Besar Perak selaku Adun kawasan tersebut.
Kewujudan Pulau Pangkor bukan sahaja sebagai pulau peranginan tetapi mempunyai kesan sejarah yang besar buat negeri Perak khasnya dan Malaysia amnya.

Disamping eko sistemnya yang masih terkawal dan tersusun, Pulau Pangkor yang hanya mempunyai penduduk sekitar 25 ribu orang ini mampu membuat perbedaan yang baik berbanding pulau pulau bebas cukai yang lain.

Sedikit kelainan pada pengistiharan kali ini ialah status PCB yang diumumkan oleh Perdana Menteri adalah pulau bebas cukai tak termasuk bagi kenderaan, minuman keras alcohol dan rokok. Berbeza dengan PCB yang lain seperti Langkawi, Labuan dan Tioman.

Saya melihat ianya satu pengiktirafan kepada suara suara NGO Islam yang sering mengutarakan masalah gejala social dan masyarakat yang diakibatkan oleh alcohol minuman keras dan rokok.

Jika dilihat kesan sampingan di ketiga tiga buah pulau ini terdahalu yang sangat membimbangkan. Oleh itu saya melihat dengan Pulau Pangkor diisithar pulau bebas cukai kecuali kenderaan, arak dan rokok boleh menjadikan ianya satu kajian kes ekonomi, sosial dan politik.

Yang mana kita yakin industri pelancongan dan ekonomi negara boleh berkembang pesat tanpa minuman keras dan rokok dan hujjah yang digunakan oleh pihak tertentu bahawa faktor tarikan pelancong terutama pelancong antarabangsa adalah kerana minuman keras dan rokok tembakau adalah meleset.

Walaupun pada hakikatnya faktor utama pelancong melancong adalah kerana faktor alam sekitar dan semula jadi dan ingin keluar dari kebejatan bandar yang penuh ujian.

Jika dilihat satu perspektif perlu juga kita bersedia bagi menerima satu lonjakan baru dari sudut ekonomi dengan pengistiharan tersebut, sudah pasti syarikat syarikat akan mula meneropong peluang bagi memperluaskan barang dagangan.

Pelbagai barang akan mula masuk dan proses mancari tapak ini akan memberikan satu kejutan kepada masyarakat setempat. Pihak berkuasa tempatan perlu memainkan peranan supaya tidak berlaku penindasan dan salah urus ketika proses ini berlaku. Kepentingan masyarakat tempatan terutamanya masyarakat bumiputra perlu menjadi keutamaan pihak kerajaan kerana berkemungkinan syarikat syarikat gergasi luar akan turun menawarkan sejumlah wang kepada orang melayu terutamanya untuk membeli tanah tanah atau lesen perniagaan disana.

Satu garis panduan yang tegas perlu diutarakan seperti tidak membenarkan pemilikan tanah rizab melayu dan pertanian dijual kepada pihak luar disamping apa jua perniagaan yang akan dibuka perlu menguntungkan penduduk setempat.

Syarat ini boleh dijalankan melalui konsep ‘smart partnership’ yakni dengan memberi peluang kepada anak jati Pangkor memperolehi ‘share’ dalam perniagaan yang ditawarkan oleh pihak luar yang berminat.

Sudah pasti agak sukar untuk masyarakat tempatan yang tidak berkemampuan untuk membangunkan tanah tanah mereka untuk membuka gedung bebas cukai tertentu, maka skim pajakan bersyarat wajar diperkenalkan bagi memastikan tanah tanah dan kawasan yang berpontensi boleh dibangunkan tanpa perlu menggadaikan hak milik tanah orang tempatan terutamanya orang melayu.

Kerajaan juga wajar memperkenalkan skim skim dan peruntukkan khas mahupun pinjaman khusus buat orang tempatan bagi membuka ruang mereka memulakan perniagaan mereka.

Badan badan kerajaan seperti MARA wajar menganjurkan kursus kursus dan latihan dalam membuka minda penduduk setempat akan peluang untuk menjadi usahawan dari pengistiharan ini.

Kerajaan negeri wajar juga mengadakan ‘road show’ keseluruh negeri bagi mewar-warkan status ini dan kelebihan serta manfaat buat negeri dimana ini juga adalah peluang bagi industry kampung Perak untuk memasarkan produk mereka di Pulau Pangkor kerana status PCB ini sudah pasti akan mengundang syarikat antarabangsa dalam meningkatkan industry pemakanan dunia. Disamping itu kewajaran kerajaan negeri untuk menyediakan juga kemudahan asas bagi pelabur pelabur seperti kompleks kompleks memberi belah dan kompleks kepejabatan sebagai tarikan dalam dan luar negeri.

Kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik wajar diperkemaskan disamping system perparitan dan perlupusan sampah perlu diselarakan semula.

Apabila Perdana Menteri memaklumkan atas hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai ini, antara yang menjadi harapan rakyat Perak ialah pengurusan yang licin dan teratur.

Sudah pasti beberapa agensi kerajaan akan mula bertapak di Pulau Poangkor seperti Kastam, Pasukan Anti-Penyeludupan dan Marin . Suasana ini bakal memberi satu impak sosial yang perlu ditangani dengan baik supaya suasana mesra pengguna dan rakyat dapat dikekal kan di Pangkor.

Sebelum ini proses ulang alik ke Pangkor amat mudah dan selesa, namun apabila pihak pihak penguasa ini akan mula beroperasi nanti sudah pasti ianya akan mewujudkan suasana formaliti dan ketat.

Kekhuatiran juga apabila Pulau Pangkor yang selama ini aman dan tidak mempunyai permasalahan serius untuk kes kes penyeludupan, sekiranya PCB dilaksanakan nanti sudah pasti aka nada unsur unsur tersebut, maka perlulah ada satu mekanisme supaya andaian-andaian ini tidak berlaku.

Sudah pasti Kerajaan akan membelanjakan sejumlah wang untuk kos pengurusan ini, adalah diharapkan dengan peningkatan kos pengurusan kea rah Pulau Pangkor Pulau Bebas Cukai ini tidak membebankan rakyat dan masyarakat setempat terutamnya kos hidup di sana dan kawasan sekitar.

Sewajarnya kita merancang agar satu kelainan dapat kita kecapi melalui status ini, seperti menjadikan ianya sebagai hub makanan halal serantau sesuai dengan hasratnya sebagai PCB kecuali minuman keras dan rokok.

Disamping menjadikan ianya sebagai pusat pendidikan pelancongan dengan menubuhkan institusi khas berpusat seperti Kolej Pelancongan Serantau yang memberi latihan dari sudut (i)kulinary dan pemakanan serantau asean, (ii) pengurusan dan perancangan pelancongan seperti perangan industry tempatan dan antrabangsa, (iii) pengurusan pelancongan miritim seperti latihan menyelam, berenang, pelayaran serta ilmu geologis laut dan (iv)pengurusan pelancongan udara seperti penerbangan air, payung terjung atau belon panas. Dan sewajarnya sistemnya berpaksikan kepada nilai serautau ketimuran dengan menjadikan sandaran status PCB tadi iaitu tanpa alcohol minuman keras dan rokok bahawa industry pelancongan bukan maju kerana minuman keras arak atau rokok.

Alangkah menariknya sekiranya pulau bebas cukai Pangkor ini benar-benar beridentitikan tradisional Perak dengan mempromosikan warisan sejarah negara dengan pembinaan mini muzium atau galeri negeri yang boleh mengumpulkan sejarah dan pembangunan negeri Perak yang merupa negeri yang menyumbang kepada industri perlombongan negara pertama dan indsutri getah negara pertama.
Sejarah Perjanjian Pangkor walaupun pahit buat kita namun pengajaran dan hikmahnya perlu diutaranya buat anak bangsa mendatang. Sejarah kesultanan Melayu Perak yang sangat unik juga perlu dijadikan agenda sekiranya Mini Perak ini dibina di Pulau Pangkor sebagai Pulau bersejarah yang memulakan lembaran negara.

*Penulis adalah Pensyarah Kanan Geopolitik Universiti Teknologi PETRONAS

CATEGORIES
TAGS