Pulau Pinang akan terus bantu Sekolah Agama Rakyat

Pulau Pinang akan terus bantu Sekolah Agama Rakyat

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan negeri Pulau Pinang akan meneruskan bantuan kepada sekolah agama rakyat di negeri itu yang sehingga kini sudah mencecah RM41.6 juta.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam perutusan sempena Ramadhan yang bermula esok berkata, jumlah ini jauh lebih besar berbanding dengan peruntukan yang diberikan sebelum 2008.

“Sekiranya kos pengambilan tanah untuk sekolah agama diambilkira, maka jumlah yang diperuntukkan adalah kira-kira RM45 juta,” katanya.

Dalam aspek tanah, katanya, kerajaan negeri juga menyumbangkan tanah bernilai RM80 juta untuk membina Kompleks Kehakiman dan Mahkamah Tinggi Syariah  Pulau Pinang di Jalan Scotland sebagai lambang penghormatan kepada agama Islam.

“Sungguhpun pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah ini di bawah kerajaan persektutuan sudah lewat 21 bulan, adalah diharapkan ia boleh siap sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Lim berkata, dalam bulan yang suci ini, kerajaan negeri yakin bahawa ibadah puasa ini akan selamat dan berjaya diraikan dengan beriman dan bertakwa.

Katanya, minggu depan kerajaan negeri akan memulakan program penghargaan ibu emas untuk mengiktiraf sumbangan ibu yang tidak keluar rumah bekerja demi jaga anak, suami dan keluarga.

Sebanyak 50,000 ibu yang berdaftar akan menerima sumbangan penghargaan sebanyak RM100 setiap tahun dan pembayaran tahun ini akan dibuat mulai esok di cawangan Maybank, katanya.

Untuk IBU EMAS yang belum berdaftar, mereka boleh berbuat demikian di pejabat kerajaan negeri dan juga wakil rakyat kerajaan negeri Pakatan, katanya.

Kerajaan negeri juga telah mengumumkan bonus Raya tahun ini sebanyak 0.75 bulan untuk kesemua anggota pentadbiran kerajaan negeri.

“Ini adalah peningkatan 0.25 bulan daripada Bonus Raya tahun lepas sebanyak 0.5 bulan. Kami harap pembayaran bonus yang lebih ini akan mengimarahkan sambutan bulan puasa yang suci ini,” beritahu beliau.

TAGS