Pulau Pinang bakal hasilkan mural tertinggi di dunia

Pulau Pinang bakal hasilkan mural tertinggi di dunia

Pulau Pinang bakal mencipta sejarah tersendiri apabila mural yang akan dihasilkan di Komtar Sky Art @ The Top bakal tersenarai sebagai mural tertinggi dunia di dalam Guinness Book of World Records.

Ketua Menteri pada sidang media berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja usaha untuk memecahkan rekod dunia, malah bagi meletakkan Pulau Pinang di persada antarabangsa.

“Sudah tentu projek ini akan menjadi sesuatu yang istimewa selepas projek baik pulih Komtar bernilai RM200 juta.

“Selaku kerajaan negeri, semestinya kita dengan bangganya menyokong inisiatif ini, yang sudah pastinya akan meletakkan nama Pulau Pinang di peta dunia.

“Namun apa yang lebih penting dari itu ialah mural tertinggi ini bakal menjadi simbol visual kekuatan intrinsik Pulau Pinang,” ujarnya pada sidang media di Goergetown, semalam.

Hadir sama, pengurus besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar dan Pengasas merangkap ketua pengerusi eksekutif Only World Group (OWG), Datuk Sri Richard Koh selaku peneraju projek.

Dengan kos pembangunan keseluruhan mencecah RM300,000 oleh OWG dan tajaan cat oleh Nippon Paint Malaysia bernilai RM30,000, projek mural tersebut dijangka mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.

Berketinggian 230 meter dan 13.1 meter lebar, projek berkaitan akan menjadi kanvas buat lima artis tempatan terkenal dan berpengalaman dalam menghasilkan lukisan mural berskala besar termasuk di Shanghai, Singapura, Taiwan serta Filipina untuk melakarkan karya masing-masing.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, projek tersebut akan mewujudkan panorama unik dan menarik, sekaligus merancakkan semula Komtar.

“Sebagai sebuah bangunan ikonik yang tertinggi di Pulau Pinang, Komtar sememangnya sesuai untuk dijadikan sebuah kanvas untuk memaparkan keunikan negeri ini yang terkenal dengan budaya, seni dan kekayaan warisannya,” ujar beliau.

TAGS