Malaysia Dateline

Pulau Pinang bakal jadi bandaraya paling lestari dan paling sesuai didiami di Asia

Kerajaan Pulau Pinang sedang mengkaji untuk melancarkan visi bagi menjadikan Puilau Pinang sebagai bandaraya paling lestari dan paling sesuai didiami di Asia dengan memperkenalkan projek “Kesalinghubungan Lestari”.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perbandaran dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Jagdeep Singh Deo berkata ini termasuk mewujudkan taman pinggir pantai dari Tanjung Tokong ke Batu Maung, dekat sini dan beberapa taman “linear” di sepanjang sungai sedia ada.

“Kami cuba untuk mewujudkan kesalinghubungan yang lancar di sepanjang kawasan pantai di bahagian pulau termasuk mengadakan lorong basikal.

“Kami berhasrat untuk membina lorong basikal sekurang-kurangnya sepanjang 200 km dan setakat ini lorong sepanjang 180 km telah siap membabitkan kos RM34.8 juta,” kata beliau pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga mempunyai rancangan uintuk membina  lorong basikal dan laluan pejalan kaki berkonsepkan “Kesalinghubungan Lestari” dari Gurney Wharf ke Batu Ferringhi.

Jagdeep berkata lorong baharu dari Gurney Wharf ke Batu Ferringhi ialah sepanjang 12.5 km dengan sepanjang 2 km telah dibina di Sri Tanjung Pinang dan 2.5 km dari Tesco Sri Tanjung Pinang ke Flamingo Hotel, di sini sementara 8 km lagi di peringkat perancangan.

“Sebahagian daripada Kesalinghubungan Lestari” ini, kami juga mempunyai program “Ecodeck”yang membabitkan pemasangan dek dari jalan ke arah laut.

“Kita akan melaksanakan program Ecodeck sepanjang 6 km dari pantai Flamingo Hotel ke pantai  Shangri La Rasa Sayang dengan kos dianggarkan RM40 juta. Kami akan memohon bantuan kewangan daripada kerajaan persekutuan,” kata beliau.

— BERNAMA