Malaysia Dateline

Pulau Pinang bakal miliki UTC tahun depan

Pulau Pinang dijangka menerima sebuah Pusat Transformasi Bandar (UTC) tahun depan dan lokasinya sedang dikenal pasti.

Ketua Menteri Chow Kon Yew berkata kajian mengenai penubuhan UTC itu sedang dilakukan oleh Kementerian Kewangan.

Menjawab soalan Mohd Tuah Ismail (PH-Pulau Betong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini, Chow berkata beliau difahamkan menjadi hasrat Kementerian Kewangan untuk menubuhkan UTC di setiap ibu negeri di Malaysia sekiranya terdapat keperluan dan peruntukan kewangan.

“Kementerian kewangan akan mewujudkan UTC  di bandar-bandar utama yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi,” katanya.

Terdahulu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun daripada Pakatan Harapan Goh Choon Aik memohon RTC Simpang Ampat diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada seluruh rakyat di Seberang Perai Selatan.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk memohon keada kerajaan negeri memanjangkan masalah ini kepada kerajaan persekutuan agar RTC Simpang Ampat ini diteruskan  kerana ia membawa manfaat kepada rakyat di Seberang Perai Selatan,” katanya.

Goh berkata sebelum ini Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah membuat bayaran sewaan RTC terbabit, bagaimanapun setelah diumumkan kementerian tidak lagi akan menanggung sewaan itu, beberapa agensi seperti Jabatan Imigresen telah ditutup pada 1 Nov lalu.

Sementara itu, Chow ketika ditemui di luar persidangan berkata pihaknya sedang mengenal pasti lokasi UTC antaranya di Butterworth.

— BERNAMA