Malaysia Dateline

Pulau Pinang batal acara pelancongan elak penularan COVID-19

Pulau Pinang mengambil tindakan drastik dengan membatalkan beberapa acara tahunan yang diadakan saban tahun bagi menyekat penularan wabak Civid-19.

Antara acara besar yang telah dibatalkan termasuklah Pesta Pulau Pinang serta Penang International Dragon Boat Festival yang akan diadakan pada bulan Disember yang akan datang.

Demikian dinyatakan oleh Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin.

Jelas beliau lagi, selain acara tahunan tersebut program kebudayaan tahunan yang turut tidak akan dilaksanakan pada tahun ini ialah Penang Pesta Chingay serta Seberang Perai Chingay Parade.

“Manakala pengecualian Penang Bridge International Marathon akan dijadikan virtual run pada tahun ini ekoran penularan wabak Covid-19.

“Keputusan ini adalah ekoran pengumuman yang telah dibuat oleh kerajaan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan telah disambung sehingga akhir tahun ini sebagai salah satu tindakan bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

“Adalah difahamkan sekiranya program dan acara tersebut diteruskan ia menyukarkan penjarakan sosial kerana jumlah peserta dan pihak penganjur yang ramai,” ujar beliau.

Sejajar dengan itu katanya lagi, setelah Pulau Pinang mencapai semula status hijau pada 2 September baru-baru ini, maka ianya harus diberi perhatian serius bagi mengelakkan kewujudan kes baru di negeri ini.