Malaysia Dateline

Pulau Pinang benarkan solat tarawikh 45 minit sahaja

Pulau Pinang membenarkan solat sunat tarawikh secara berjemaah di surau dan masjid hanya dalam tempoh 45 minit sahaja dengan mematuhi semua prosidur operasi standard atau SOP yang telah ditetapkan bagi tahun ini.

Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, kebenaran ini turut diberikan kepada mereka yang berusia antara tujuh hingga tujuh puluh tahun sahaja.

“Solat sunat tarawikh tersebut dibenarkan dilaksanakan samada lapan ataupun dua puluh rakaat tetapi haruslah dalam tempoh 45 minit yang telah ditetapkan.

” Manakala tazkirah tidak dibenarkan sama sekali dan imam luar untuk memimpin solat sunat tersebut adalah tidak digalakkan.

” Bagi memastikan tempoh berkumpul tidak begitu lama, pihak surau dan masjid boleh mengadakan sebanyak lapan rakaat dengan kadar bilangan jemaah mengikut keluasan dan kapasiti surau maupun masjid tersebut,” ujar beliau yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.