Pulau Pinang beri bonus 75% dari gaji pokok

Pulau Pinang beri bonus 75% dari gaji pokok

Kerajaan Pulau Pinang bersetuju memberi bonus sebanyak 3/4 atau 75% daripada sebulan gaji pokok atau minimum RM700.00 kepada seramai 4,178 anggota perkhidmatan awam negeri itu, kata ketua menteri Lim Guan Eng.

Pemberian bonus ini juga turut dipanjangkan kepada seramai 1,486 penyelia dan guru KAFA, 192 guru sekolah rendah agama rakyat (SAR), 166 guru sekolah menengah agama rakyat.

Turut terlibat 522 guru dan staf sekolah persendirian Cina sebanyak RM300.00 seorang dan RM200.00 seorang kepada seramai 215 guru tahfiz, guru pondok dan guru tadika Islam (TADIS) negeri Pulau Pinang.

Katanya dalam satu kenyataan hari ini, bayaran bonus khas dan istimewa ini akan dibayar pada 24 Jun 2016 yang melibatkan anggaran perbelanjaan Kerajaan Negeri sebanyak RM7.95 juta berbanding RM5.22 juta bagi tahun lepas.

Pemberian bonus ini juga turut dipanjangkan kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan dan badan-badan berkanun Kerajaan Negeri, katanya.

Bonus ini diberikan hasil lebihan belanjawan setiap tahun tanpa mengambil kira kadar bonus yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan, yang lazimnya kurang daripada kadar pemberian Kerajaan Negeri.

“Ia hanya dapat dilakukan kerana kerajaan negeri mencatatkan lebihan belanjawan setiap tahun dengan menjalankan sistem pentadbiran yang bersih tanpa rasuah,” katanya.

Sejak 2008 hingga 2014, kerajaan negeri telah melaksanakan pemberian bonus sebulan gaji dengan minimum RM1,300 (biasanya dibayar dua (2) kali iaitu pada pertengahan dan akhir tahun semasa) yang melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM47.42 juta.

“Marilah kita bersama-sama berusaha gigih menjalankan transformasi ke atas Pulau Pinang yang bertaraf antarabangsa dan pintar dalam sebuah bandaraya berdaya huni yang bersih, hijau, sihat dan selamat. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!” katanya.

Menurut Guan Eng, kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang yang memerintah sejak 2008 adalah Kerajaan Negeri yang Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) dalam melaksanakan tata kelola yang baik dan bersih.

Ianya terbukti dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Transparency International kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, di samping pujian setiap tahun oleh Laporan Ketua Audit Negara.

Urus tadbir Kerajaan Negeri yang bersih membolehkan lebihan belanjawan setiap tahun yang kini terkumpul sebanyak RM574 juta dalam tempoh lapan (8) tahun pemerintahan (2008-2015) berbanding dengan lebihan RM373 juta sepanjang 50 tahun (1957-2007) di bawah Kerajaan Negeri terdahulu.

Jelas sekali, sepanjang lapan (8) tahun Kerajaan Negeri Pakatan Harapan memerintah Pulau Pinang, jauh lebih berkesan daripada 50 tahun sebelum ini, katanya.

TAGS