Pulau Pinang buktikan mitos DAP anti Melayu Islam ditolak

Zulkifli dijulang selepas menang di Teluk Bahang.

“Kempen saya mudah, bawa bersama rombongan saudara baru beritahu apa kerajaan Guan Eng buat untuk Islam di Pulau Pinang,” kata Zulkifli Lazim’ Adun Pakatan Telok Bahang ketika ditemui di rumahnya pagi ini.

Zulkifli, seorang usahawan Melayu berjaya menang dalam pertandingan tiga penjuru mengalahkan calon BN Datuk Shah Headan Ayoob Hussain dan Pas Mohd. Ali Othman dalam pilihanraya umum yang lalu.

Beliau yang juga terkenal dengan kerja-kerja dakwah di Pulau Pinang dan pernah mendapat anugerah khas dari Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) yang disampaikan sendiri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, ketika penamaan calon beliau agak gusar kerana calon BN yang dikemukakan adalah dari keluarga besar dan terkenal di Telok Bahang.

“Sebagai calon underdog, saya perlu menentukan kempen paling berkesan.

“Jentera kami akhirnya memilih wanita dan pengundi pertama kali sebagai kelompok sasaran utama,” katanya.

Dengan bantuan saudara baru yang rapat dengannya, Zulkifli menggerakkan kempennya.

“Tiada ceramah.

“Saya dan rombongan bergerak dari rumah ke rumah.

“Saya sendiri tidak banyak bercakap.

“Rakan-rakan saudara baru akan memperkenalkan saya kepada pengundi.

“Mereka akan menerangkan program-program dan bantuan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang kepada orang Melayu dan Islam,” katanya.

Menurutnya ramai pengundi Melayu yang tidak ada maklumat mengenai perkembangan Islam di bawah kerajaan Pulau Pinang sekarang.

“Bila diberi penjelasan tentang usaha memakmurkan masjid di Pulau Pinang yang dipantau sendiri ketua menteri ramai yang terkejut.

“Mereka tidak menyangka Lim Guan Eng sentiasa memantau masjid-masjid yang tidak dimakmurkan walaupun telah disalurkan bantuan oleh pihak kerajaan.

“Ada yang seperti tidak percaya apabila diberitahu kerajaan membayar saguhati berjumlah RM1000 pada setiap keluarga yang mempunyai hafiz al quran.

“Para pengundi bagaimana pun menerima kenyataan apabila penerangan ini disampaikan oleh saudara-saudara baru dengan bukti-bukti berdokumen.

Kawasan yang beliau tandingi menurut Zulkifli agak sukar kerana komposisi di kawsan itu adalah 70 peratus Melayu dan 30 peratus Cina.

“Sebab itu majoriti 425 undi itu bagi saya sudah cukup besar bagi saya dan telah amat bersyukur.

“Beliau bagaimanapun berjanji akan berkhidmat sebaik mungkin bagi membolehkan seluruh lapisan masyarakat dapan menjalani kehidupan dengan sempurna,” katanya.

Keputusan pilihanraya Rabu lalu menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memenangi 37 daripada 40 kerusi Dun Pulau Pinang.

Barisan Nasional memenangi 2 kerusi manakala Pas 1.