Malaysia Dateline

Pulau Pinang catat penembusan jalur lebar lebihi kadar nasional

Pulau Pinang telah berjaya mencatatkan kadar penembusan jalur lebar sebanyak 139.2 peratus bagi setiap 100 penduduk melebihi kadar nasional sebanyak 120.1 peratus.

Hal ini membuktikan penyediaan infrastruktur telekomunikasi di Pulau Pinang kini lebih baik berbanding tiga tahun yang lalu.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari, berkata statistik liputan telekomunikasi oleh Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC) menunjukkan Pulau Pinang sebagai negeri kedua terbaik dalam negara selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Selain kadar penembusan jalur lebar melebihi kadar nasional tersebut, bagi kadar penembusan jalur lebar tetap (berwayar) pula, Pulau Pinang telah mencatatkan peningkatan sebanyak 35.3 peratus berbanding tahun 2019 iaitu sebanyak 11.7 peratus.

“Bagi tahun 2020 pula, kelajuan muat turun mudah alih di Pulau Pinang adalah sebanyak 13.05 Mbps dan bagi tahun 2021 pula telah meningkat kepada 28.57 Mbps.

“Kesemua pencapaian ini tidak mungkin dapat dicapai sekiranya pembinaan infrastruktur telekomunikasi terbantut atau disekat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri kesal kerana penduduk di sekitar Rumah Pangsa Gat Lebuh Macallum tidak mendapat maklumat yang tepat daripada Gerakan Pulau Pinang mengenai pembinaan menara komunikasi di Pulau Pinang.

Malah, ujarnya, prosedur pengurusan aduan berhubung pembinaan menara komunikasi di Pulau Pinang telah pun dijelaskan kepada pihak Gerakan Pulau Pinang.

Walau bagaimana pun, kata Zairil, sehingga kini Gerakan tidak mengemukakan sebarang aduan rasmi kepada kerajaan negeri mengikut tatacara prosedur operasi standard (SOP) bantahan penduduk terhadap struktur pemancar telekomunikasi di negeri itu.

Sejajar dengan itu, tegasnya, bagi memastikan penduduk tidak dipergunakan bagi tujuan peribadi individu atau parti politik tertentu, kerajaan negeri akan mengadakan sesi dialog pada 6 Januari depan berhubung aduan penduduk bagi memberi penjelasan penuh mengenai pembinaan tiang komunikasi tersebut.