Malaysia Dateline

Pulau Pinang dapat TYT baru Mei ini

Pulau Pinang akan mendapat Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang baru mulai Mei ini.

Menurut Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow, Tan Sri Datuk Ahmad Fuzi Abdul Razak akan menggantikan TYT Yang Di-Pertua, Tun Datuk Seri Dr Abdul Rahman Abbas sebagai TYT yang ke lapan dan majlis angkat sumpah jawatan akan diadakan pada 1 Mei 2021 di Dewan Sri Pinang.

Ujar beliau lagi, Kerajaan Negeri akan menguruskan segala persiapan bagi upacara istiadat pelantikan mengikut prosidur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Ahmad Fuzi adalah mantan Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri setelah berkhidmat di kementerian tersebut sejak tahun 1972 dan merupakan anak kelahiran Pulau Pinang dan juga merupakan Ketua Setiausaha World Islamic Economic Forum Foundation (WIEF) serta beberapa jawatan lain melibatkan organisasi dalam serta juga luar negara.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan pelantikan Tan Sri Datuk Ahmad Fuzi sebagai TYT, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang kelapan serta menzahirkan segala jasa dan amanat yang telah pun dicurahkan oleh Tun Datuk Seri Utama Dr Abdul Rahman Abbas kepada Kerajaan Negeri akan sentiasa menjadi pedoman serta panduan dalam usaha untuk terus meletakkan Pulau Pinang dalam kecemerlangan.

“Majlis penyerahan watikah pelantikan Ahmad Fuzi akan diadakan pada 30 April 2021 di Istana Negara.

“Sementara itu khidmat Abdul Rahman kepada Pulau Pinang juga begitu lama sebagai Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang mulai 2001 sehinggalah dilantik semula kejawatan yang sama pada tahun 2005, 2009,2011,2013,2015 dan 2017, ” tegas beliau setelah menerima warkah pemakluman pelantikan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang daripada Yang Di-Pertuan Agong pada 8 April 2021.