Pulau Pinang jadi Wilayah Persekutuan: Satu penghinaan, saran kementerian dibubarkan

Pulau Pinang jadi Wilayah Persekutuan: Satu penghinaan, saran kementerian dibubarkan

Lim Lip Eng

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng membidas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengu Mansor untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, sama ada cadangan menteri itu satu penghinaan kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang yang dilantik oleh Yang DiPertuan Agung yang mungkin boleh disiasat oleh pihak polis.

“Pulau Pinang yang pernah disenaraikan oleh media asing CNN sebagai antara tempat terbaik untuk bersara di dunia dan pernah menduduki tempat kedua sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia.

“Sama ada cadangan Ku Nan itu suatu penghinaan kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong adalah sesuatu yang mungkin boleh disiasat oleh pihak polis.

“Namun alasan yang diberikan Ku Nan kononnya Pulau Pinang boleh mendapat peruntukan Persekutuan adalah bukti bahawa beliau mempunyai terlalu banyak peruntukan kewangan dan kuasa sehinggakan beliau langsung tidak tahu apa yang nak dibuat dengan peruntukan tersebut, demi manfaat penduduk Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dilaporkan telah meluahkan keinginannya untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai salah satu Wilayah Persekutuan sempena sambutan hari Wilayah semalam.

Lip Eng mempersoalkan manfaat yang boleh diperoleh Pulau Pinang sekiranya ia dijadikan salah satu Wilayah Persekutuan.

“Apa kata kita dengar dahulu apa pencapaian ketiga-tiga Wilayah yang lain di bawah pentadbiran beliau.

“Adakah cadangan untuk mengharamkan gelandangan dan penunggang kapcai daripada ‘menyesakkan’ Kuala Lumpur itu satu cadangan yang baik?

“Adakah Ku Nan akan mahu mengharamkan gelandangan dan kapcai di Pulau Pinang juga?

“Berapa ekar hartanah milik Kerajaan Persekutuan di Kuala Lumpur telah dijual kepada 1MDB, Umno dan pemaju swasta?

“Bolehkah Ku Nan senaraikan tiga keutamaan yang akan menggunakan peruntukan RM1.61 bilion dana Kementerian Wilayah Persekutuan untuk penduduk Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya tahun ini?,” soalnya.

Justeru kata beliau lagi, tidak ada satu perkara pun yang tidak mampu dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya tanpa kewujudan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Hakikatnya juga, Kementerian Ku Nan bukan sahaja mewujudkan pertindihan kerja, ia malah mengganggu kerja ketiga-tiga pihak berkuasa tempatan terbabit.

“Apa yang lebih afdhal untuk dilakukan oleh Ku Nan sempena Hari Wilayah Persekutuan ialah untuk membubarkan kementeriannya itu, yang menjimatkan RM1.61 bilion dana milik rakyat Malaysia,” ujarnya.