Malaysia Dateline

Pulau Pinang jadikan pengalaman tsunami 2004 bantu mangsa banjir di Selangor, Pahang

Berbekalkan pengalaman Pulau Pinang berhadapan dengan banjir besar pada November 2017 serta penglibatan dalam misi bantuan bencana banjir di Pantai Timur pada 2014, kerajaan negeri terus bertindak pantas sejak awal bencana besar itu melanda negara.

Menurut Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow, pelbagai agensi kerajaan negeri, ADUN, Ahli Parlimen dan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bukan sahaja bertindak pantas tiba di lokasi kejadian, bahkan bantuan makanan, perubatan serta kelengkapan menyelamat juga dihantar tanpa henti secara berperingkat.

Beliau berkata, kerajaan negeri amat simpati dan turut sama bersolidariti dengan semua mangsa banjir di Selangor dan Pahang yang masih bergelut untuk kembali kepada kehidupan normal.

“Kita bersama agensi kerajaan negeri yang terlibat bukan hanya tiba di lokasi kejadian sejak dari peringkat permulaan musibah, malah bantuan makanan, perubatan serta juga kelengkapan menyelamat turut dihantar tanpa henti.

“Sebagai tambahan, badan-badan korporat, orang perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak-pihak berkaitan turut bersama-sama kerajaan negeri dalam menyalurkan bantuan yang diperlukan.

“Walaupun telah 17 tahun berlalu, Pulau Pinang tidak pernah lupa tarikh keramat 26 Disember 2004 tsunami laut Andaman yang telah memusnahkan sebahagian kehidupan penduduk negeri ini,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.

Sejajar dengan itu katanya, atas semangat kekitaan telah berjaya bangkit semula dan suntikan inilah yang menjadi tulang belakang untuk terus bersama-sama menghadapi kesukaran.