Malaysia Dateline

Pulau Pinang kerah segala usaha demi rakyat dalam perang lawan Covid-19

Kerajaan negeri Pulau Pinang sentiasa terkedepan menunjukkan usaha mereka dalam memulihkan kesihatan rakyat dan ekonomi negeri akibat pandemik Covid-19 yang semakin mengganas.

Pada 2 Jun 2021, Pulau Pinang menjadi antara kerajaan negeri terawal yang mengumumkan sumbangan gaji kesemua exco bagi tempoh tiga bulan ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyatakan bahawa keputusan ini diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pulau Pinang pada 2 Jun 2021 sebagai tanda solidariti terhadap usaha memerangi jangkitan pandemik Covid-19.

Sumbangan tersebut akan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Bencana Negara yang akan digunakan untuk tujuan mempertingkat taraf kesihatan awam serta pembangunan ekonomi Pulau Pinang secara keseluruhan.

Selain sumbangan gaji oleh exco kerajaan negeri, sebelum ini Pulau Pinang telah beberapa kali bersuara isu kelewatan Kerajaan Persekutuan membenar atau melonggarkan syarat perolehan vaksin Covid-19 kepada kerajaan-kerajaan negeri dan pihak swasta.

Ini tidak lain menjadi bukti, bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang bertindak pantas untuk mendapatkan bekalan vaksin secara sendirian dengan lebih cepat bagi mengatasi kebimbangan rakyat Pulau Pinang akibat kes positif baharu harian yang sentiasa tinggi jumlahnya.

Selain menulis surat kepada Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN), kerajaan negeri Pulau Pinang juga telah menulis surat rasmi secara terus kepada Pharmaniaga Bhd bagi menawarkan pembelian vaksin secara terus.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan pada 28 Mei lalu berkata, proses vaksinasi yang bergerak perlahan serta sukar bagi rakyat negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan janji temu vaksinasi menyebabkan usaha untuk membeli vaksin secara terus dipergiat.

Pulau Pinang sebelum ini juga ada melaporkan menerima sumbangan dua (2) juta dos vaksin Covid-19, namun ia menjadi kontroversi yang menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow telah lari daripada tujuan asal, lalu menyebabkan kerajaan negeri memutuskan untuk membuat pembelian vaksin tambahan dengan dana sendiri.

Maklum balas positif daripada Kerajaan Persekutuan dan Pharmaniaga Bhd amat dinantikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang kerana besar harapan mereka untuk memastikan kesihatan rakyat dapat dipertingkat, diutamakan dan sekali gus memulihkan ekonomi negeri.