Malaysia Dateline

Pulau Pinang komited tangani pandemik di sektor industri

Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia membantu kilang-kilang di negeri ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, kerajaan Persekutuan melalui JKN dan MKN juga harus menggunakan pendekatan yang lebih bersasar serta memberi fokus kepada kilang-kilang yang terlibat dengan pandemik Covid-19.

“Walau bagaimana pun kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap perkara yang berkaitan kesihatan dan keselamatan rakyat negeri ini.

“Sektor peruncitan dan perhotelan yang melibatkan banyak peniaga kecil dan pengusaha mikro turut terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dalam masa sama, terdapat juga kilang yang terjejas akibat hubungan rapat dalam kalangan tenaga kerja mereka,” katanya yang juga Ahli Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung itu.

Sehubungan itu, beliau menegaskan adalah tidak adil sekiranya beberapa kilang terbabit dengan penularan wabak Covid-19 masih dibenarkan beroperasi tanpa mengambil langkah serius membendung wabak tersebut kerana ia sudah pasti akan menimbulkan lagi kemarahan rakyat.

Malah, kataAbdul Halim, sekiranya PKP terus dilaksanakan disebabkan segelintir kilang yang tidak mematuhi SOP (blanket lockdown) ia akan menyebabkan bercambahnya kesulitan kepada rakyat Pulau Pinang.

Maka itu tegas beliau, meskipun kehadiran vaksin pertama telah tiba ke negara ini, individu, majikan maupun pihak berkuasa harus terus berganding bahu memerangi wabak Covid-19 tersebut agar ia dapat dihentikan serta pemulihan ekonomi negeri ini dapat diteruskan semula.