Pulau Pinang lancar aplikasi e-hailing bantu pemandu teksi

Pulau Pinang lancar aplikasi e-hailing bantu pemandu teksi

Kerajaan Pulau Pinang hari ini melancarkan aplikasi perkhidmatan e-hailing yang dinamakan ‘cALLme CAB’ khusus untuk industri teksi di negeri ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri amat prihatin dengan cabaran yang dihadapi oleh pemandu teksi di negeri ini dengan kewujudan perkhidmatan e-hailing lain seperti Grab.

Menurutnya, aplikasi cALLme CAB ini dibangunkan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) yang berhasrat membantu membangunkan industri teksi serta memanfaatkan teknologi maklumat.

“Saya berharap dengan adanya cALLme CAB ini dapat membantu pemandu teksi di negeri ini menghadapi saingan teknologi yang mana kita sedia maklum bahawa punca pendapatan pemandu teksi kini terjejas dan merudum disebabkan persaingan perkhidmatan e-hailing,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran cALLme CAB di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) hari ini.

Beliau berkata pendaftaran aplikasi ini akan diuruskan oleh Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Pemandu Kereta Sewa Pulau Pinang yang mana seramai 500 pemandu lengkap dengan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dan permit telah berdaftar untuk menggunakan aplikasi ini.

Chow yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berharap para pemandu teksi di negeri ini akan memanfaatkan aplikasi ini dan mampu mengendalikannya dengan baik serta tidak mudah putus asa menghadapi persaingan digital.

“Saya percaya pihak Angkasa akan membantu dalam sokongan teknikal latihan penggunaan bagi memahirkan para pemandu teksi dalam pengendalian e-hailing,” katanya.

Sementara itu, Yang di-Pertua Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Pemandu Kereta Sewa Pulau Pinang, Mohamad Shahimi Hadzri memohon agar semua pemandu teksi yang mempunyai lesen sah untuk berdaftar memanfaatkan aplikasi ini.

Katanya, Pulau Pinang mempunyai seramai hampir 2,000 pemandu teksi yang sah dan kewujudan aplikasi ini dapat melancarkan lagi perkhidmatan pemandu teksi serta berupaya membantu meningkatkan pendapatan mereka.

“Aplikasi ini diwujudkan bukan untuk mencabar perkhidmatan e-hailing yang lain tetapi untuk membantu pemandu teksi dalam menghadapi era ekonomi digital supaya mutu perkhidmatan mereka akan dapat dipertingkatkan dalam usaha memberikan keselesaan dengan harga yang berpatutan kepada semua pelanggan,” katanya.

Terangnya, tambang yang dikenakan kepada semua pelanggan adalah mengikut sistem yang dikeluarkan oleh Agensi Penguatkuasaan Awam Darat (APAD) yang mana tiada aktiviti tawar-menawar dibenar.

“Harga permulaan untuk perkhidmatan teksi mengikut aplikasi adalah RM4 yang mana setiap pelanggan akan dikenakan caj RM1.40 seminit dan semua tanda harga dari satu lokasi ke destinasi lain akan dipaparkan dalam aplikasi selepas pelanggan membuat tempahan menggunakan telefon pintar,” katanya.

Bagi perkhidmatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Shahimi berkata pemandu teksi yang berdaftar dengan cALLme CAB ini tidak dibenarkan menunggu di situ, sebaliknya harus menunjukkan tempahan mereka dalam telefon pintar kepada pegawai keselamatan sebelum dibenarkan masuk untuk mengambil pelanggan.

— BERNAMA