Malaysia Dateline

Pulau Pinang layak tuntut dana pembangunan lebih besar RMK-12

Sebagai negeri kedua membayar cukai tertinggi dalam negara, sudah sewajarnya Pulau Pinang layak menuntut jumlah peruntukan pembangunan yang lebih besar dari kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, sudah pasti negeri itu mengharapkan peruntukan yang lebih besar.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12) melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sejumlah RM50 juta telah diluluskan bagi Pulau Pinang untuk tahun 2022.

“Namun begitu, perbelanjaan beberapa buah lagi projek pembangunan yang ingin dilaksanakan menelan kos sehingga RM967 juta dan sudah sepatutnya Pulau Pinang menuntut jumlah tersebut dari kerajaan Pusat.

“Sebagai sebuah kerajaan sudah pasti wang hasil cukai yang dibayar oleh rakyat, perlu dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai kemudahan dan projek pembangunan yang dilaksanakan,” tegasnya.

Sehubungan itu kata Jagdeep, pelbagai projek pembangunan infrastruktur, naik taraf, lanskap dan penggantian bagi tahun 2022 akan turut dilaksanakan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai.

Jelasnya, jumlah yang akan dibelanjakan bagi kemudahan rakyat itu adalah sebanyak RM54.75 juta.