Malaysia Dateline

Pulau Pinang pastikan tiada lagi gaji pegawai, pemain bola sepak tertunggak

Sehingga ini tiada lagi tunggakan gaji bagi pegawai mahu pun pemain bagi Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, FAP telah pun menyelesaikan kesemua tunggakan berjumlah hampir RM12 juta.

“Tiada lagi tunggakan yang membelenggu pegawai mahu pun pemain. Kerajaan Negeri komited untuk terus menyokong FAP dengan menyalurkan bantuan kewangan walaupun ianya telah disswastakan serta beroperasi sebagai sebuah kelab bola sepak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan sesi Latihan Pasukan FAP di Stadium Negeri, Batu Kawan semalam.

Chow Kon Yeow ketika ditemui di Stadium Negeri Batu Kawan petang semalam.

Menurutnya, dengan adanya kedudukan kewangan yang stabil ia akan memberi ruang yang lebih besar kepada pemain untuk memberi tumpuan sepenuhnya.

“Malah, kerajaan negeri akan terus menyalurkan bantuan kepada FAP sehingga akhir tahun ini,” tegas Kon Yeow lagi.

Sementara itu, Presiden FAP, Dr Amar Pritpal Abdullah yang turut hadir juga berkata, FAP akan dikendalikan oleh sebuah kelab yang dikenali sebagai Penang Football Club.

Jelasnya, pada tahun 2021, FAP akan menjadi sebuah kelab yang berusia 100 tahun.

Selain itu, kata Dr Amar lagi, skuad Harimau Kumbang tersebut juga akan menghabiskan tujuh baki perlawanan dalam musim saingan Liga Premier kali ini.

Tambahnya, sekiranya prestasi yang ditunjukkan oleh skuad ini menggalakkan, sudah pasti ia mampu untuk ke Liga Super.

Setakat ini, tambahnya lagi, skuad Harimau Kumbang telah memenangi dua perlawanan dan seri dua perlawanan juga serta masih berbaki sebanyak tujuh perlawanan lagi.