Malaysia Dateline

Pulau Pinang perlu ada pembangunan seimbang antara tanah besar dan pulau

Disebalik prestasi KDNK negeri Pulau Pinang yang semakin meningkat, perlu diakui bahawa ketidakseimbangan pembangunan masih lagi berlaku di Pulau Pinang khususnya di tanah besar Seberang Perai, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Faiz Fadzil.

Katanya, kawasan pulau mengalami proses perbandaran dengan cukup pesat, namun bagi kawasan Seberang Perai, sesetengah kawasan terutamanya yang dikategorikan sebagai kawasan luar bandar masih lagi ketinggalan dari aspek pembangunan.

“Dengan pelbagai perancangan pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan negeri seperti projek infrastruktur pengangkutan awam melalui Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dan projek Penang South Reclamation (PSR) yang tertumpu di kawasan pulau,

kerajaan negeri perlu memastikan pembangunan yang pesat juga berlaku di Seberang Perai.

“Harus diakui bahawa masih banyak kawasan di Seberang Perai khususnya di luar bandar masih terpinggir daripada arus pembangunan pesat yang berlaku di kawasan pulau.

“Walaupun kawasan-kawasan luar bandar daripada Parlimen Kepala Batas hingga ke Nibong Tebal sebahagian besarnya terdiri daripada tanah pertanian, namun perancangan yang lebih strategik perlu dilakukan untuk memastikan kepesatan pembangunan turut dirasai olehpenduduk-penduduk di kawasan-kawasan terbabit.

“Ini termasuklah pembangunan dan aspek kemudahan infrastruktur , sistem pengangkutan awam dan kompleks perniagaan yang masih lagi ketinggalan, tambahan pula, masih ramai penduduk di kawasan ini masih tergolong dalam kategori B40, ” ujarnya semasa sidang Dewan Undangan Negeri Penggal Kedua 2019 pada Rabu.

Menurut Faiz lagi, perkara ini turut disentuh dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir pada 5 Oktober 2019 yang menetapkan objektif pertama dan kedua dalam wawasan ini turut menyatakan pembangunan untuk semua.

Malah tegasnya, ia turut merangkumi menstruktur semula ekonomi yang lebih progresif berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi dengan penyertaan masyarakat yang menyeluruh di semua peringkat.

Selain itu katanya, ia juga untuk menangani jurang kekayaan dan pendapatan antara kumpulan pendapatan, etnik, pembangunan wilayah dan rantaian bekalan bagi membela dan meningkatkan keupayaan semua rakyat supaya tiada yang ketinggalan.

Sehubungan itu tambah Faiz, wawasan ini telah disambut dengan baik oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dengan mengangkat tema belanjawan tahun 2020 sebagai ‘Penang 2030, Teras Kejayaan Kemakmuran Bersama’.

“Adalah diyakini dengan penuh kepercayaan dan harapan agar tema ini benar-benar direalisasikan kerana kedua-dua wawasan ini amat penting dilaksanakan secara serentak dan integrasi bagi membangunkan negeri ini secara mampan serta pembangunan modal insan yang berkualiti.

“Kedua-dua elemen ini penting bagi menjamin kelestarian kemakmuran kehidupan rakyat negeri ini, namun adalah dibimbangi samada kesenjangan ekonomi diantara dua wilayah negeri ini mampu mencapai wawasan ini.

“Ketidakseimbangan atau jurang pembangunan yang berlaku antara kawasan pulau dan Seberang Perai dikhuatiri akan memberikan kesan yang besar kepada kehidupan rakyat, dimana ia akan menyaksikan lebih banyak ketidakseimbangan wujud khususnya dalam aspek pendapatan rakyat di kawasan bandar dan luar bandar,”katanya.