Pulau Pinang perlu laluan alternatif ketiga atasi kesesakan, tegas KM

Pulau Pinang perlu laluan alternatif ketiga atasi kesesakan, tegas KM

Lim Guan Eng

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sekali lagi menegaskan bahawa Pulau Pinang memerlukan laluan alternatif ketiga iaitu terowong dasar laut yang menghubungkan antara Persiaran Gurney ke Bagan Ajam, Butterworth (Seberang Perai Utara, SPU) bagi mengatasi masalah kesesakan trafik.

Merujuk kepada kemalangan yang berlaku di atas Jambatan Pulau Pinang awal pagi baru-baru ini hingga mengundang kepada kesesakan trafik yang teruk selama tiga jam, Guan Eng dalam responsnya berkata, bahawa kejadian tersebut menunjukkan betapa seriusnya masalah kesesakan trafik yang dihadapi penduduk negeri kini.

“Insiden-insiden ini jelas menunjukkan bahawa kita amat memerlukan satu lagi laluan ketiga seperti yang telah dicadangkan di antara Persiaran Gurney ke Bagan Ajam

“Dan laluan ini lebih dekat jika nak dibandingkan jarak ke Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Jambatan Kedua).

“Lebih baik ada laluan ketiga, tetapi malangnya projek ini telah disabotaj dan digagalkan Barisan Nasional (BN) kerana mereka tahu jika rakyat senang, rakyat tak akan lagi sokong BN, jadi mereka tak ada peluang langsung.

“Mereka tak boleh lihat rakyat senang, sebaliknya hanya melihat pemimpin dalam kalangan mereka sahaja yang senang,” ujarnya pada sidang media semalam, menurut laporan di Facebooknya.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Lim Hock Seng dan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh.

Mengulas lanjut sambil merujuk kepada satu salinan keratan akhbar berbahasa Cina, Guan Eng turut menyindir Timbalan Perdana Menteri (TPM) apabila menggunakan khidmat helikopter untuk mengelakkannya daripada terjebak dalam kesesakan trafik dalam lawatan beliau kelmarin.

“Beliau bolehlah arahkan helikopter untuk ambilnya supaya dia sempat sampai destinasi mengikut masa yang dijadualkan.

“Tapi kita semua rakyat Malaysia bukan macam TPM boleh bila-bila saja panggil helikopter, kita orang biasa-biasa saja tak ada helikopter, itulah sebabnya kerajaan negeri kena cari jalan untuk mengatasi kesesakan lalu lintas.

“Bukan semua orang senang macam TPM, saya sebagai Ketua Menteri pun tak mampu panggil helikopter.

“Selepas ini, biarlah rakyat putuskan sama ada mereka nak bersama-sama pemimpin yang bersesak bersama-sama dalam kesesakan atau pemimpin yang boleh elakkan trafik dengan panggil helikopter sahaja,” selorohnya.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote