Malaysia Dateline

Pulau Pinang perlukan RUU muzium

Rang Undang Undang (RUU) Enakmen Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP) bagi memperuntukkan kuasa baru kepada LMNPP untuk menyelia dan memantau operasi muzium-muzium swasta dan persendirian adalah diperlukan.

Demikian dinyatakan oleh Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin.

Jelasnya sejak 2018 lagi usaha bagi menggubal pembaharuan RUU Enakmen LMNPP telah pun dilaksanakan dan kini ia akan dibentangkan dalam Persidangan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang akan datang.

“Permohonan cadangan tersebut telah pun dibuat pada tahun lalu kepada Jabatan Peguam Negara mengenai penggubalan Enakmen LMNPP 1972 yang sedia ada.

“Seandainya RUU ini diluluskan pun, ia tidak akan memberi impak kepada muzium persendirian dan swasta sedia ada di Pulau Pinang.

“Isu kebanyakan muzium swasta dan persendirian tidak mencapai tahap berdasarkan kepada definisi yang diberikan oleh pihak Jabatan Muzium Negara ataupun ICOM telah pun dibangkitkan dalam sidang Dun yang ketiga belas pada tahun 2016 lagi,” tegasnya yang juga merupakan Pengerusi LMNPP sejak 2018.

Tambah beliau, aktiviti yang dikendalikan oleh muzium-muzium haruslah merupakan salah satu usaha yang diharapkan dapat menjadi daya tarikan pelancong.