Pulau Pinang peruntuk RM15 juta untuk khidmat bas percuma mulai 1 April

Pulau Pinang peruntuk RM15 juta untuk khidmat bas percuma mulai 1 April

Kerajaan Negeri Pulau Pinang meneruskan program khidmat peduli rakyat dengan menyediakan perkhidmatan bas percuma.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas negeri, Chow Kon Yeow (foto), kerajaan negeri dengan kerjasama Rapid Penang akan menyediakan khidmat bas percuma kepada rakyat negeri ini mulai 1 April akan datang.

Katanya lagi, sebanyak RM15 juta telah diperuntukkan bagi projek khidmat masyarakat tersebut dengan menyediakan bas pengantara bagi bahagian pulau dan juga Seberang Perai.

“Jumlah ‘feeder bus’ atau bas pengantara yang akan memberi khidmat di sebelah pulau sebanyak 29 buah.

“Manakala bagi kawasan Seberang Perai pula jumlah bas yang disediakan untuk perkhidmatan percuma tersebut ialah sebanyak 23 buah.

“Sebelum ini kerajaan negeri telah mengumumkan hanya 46 buah bas dengan 12 laluan, namun begitu setelah dibuat perincian semula, satu lagi laluan ditambah bagi kawasan Alma, Bukit Mertajam,” jelasnya.

Beliau juga berkata, perkhidmatan ini adalah di peringkat awal dan jumlah laluan akan ditambah baik pada masa akan datang.

“Seandainya selepas fasa pertama dilaksanakan, kerajaan negeri akan membuat beberapa perubahan menurut keperluan.

“Walau bagaimana pun ia tidak akan menjejaskan kos yang telah diperuntukkan bagi khidmat masyarakat tersebut.

“Selain itu kerajaan negeri turut meneliti mengenai laluan serta waktu operasi di beberapa lokasi sehingga jam 12 tengah malam,” ujarnya.

Sejak menerajui kerajaan negeri, pelbagai program kebajikan rakyat telah disempurnakan kerajaan Pakatan Harapan negeri.

Antaranya sumbangan sekaligus RM100 kepada warga emas, sumbangan khairat kematian sebanyak RM1000 kepada waris warga emas, sumbangan sebanyak RM100 bagi pelajar tahun satu dan tahun empat serta tingkatan satu dan tingkatan empat.

Penarik beca, pemandu teksi, operator bas sekolah, nelayan, bayi yang baru dilahirkan, surirumah yang tidak bekerja dan pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggi turut menerima manfaat daripada skim kebajikan yang dilaksanakan.