Malaysia Dateline

Pulau Pinang peruntuk RM3 juta untuk pemuliharaan bangunan warisan

Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan dana sebanyak RM3 juta untuk fasa perintis program ‘George Town Heritage Habitat Seed Fund’ yang dilancarkan hari ini.

Melalui slogan ‘Together We Safeguard’, program itu termasuk dalam manifesto Pakatan Harapan untuk Pulau Pinang, bertujuan mengekalkan penyewaan bagi tempoh jangka panjang dengan menawarkan bantuan kewangan dan nasihat kepada pemilik bangunan warisan rakyat Malaysia dan penyewa dalam jangka panjang bagi kerja pemuliharaan dan pembaikan premis di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata program itu akan membolehkan penyewa yang menyewa dalam tempoh jangka panjang yang menyertainya, menaik taraf persekitaran kehidupan mereka dan memperoleh perjanjian sewa daripada lima hingga 10 tahun dengan sewa dirundingkan pada kadar kenaikan dipersetujui bersama.

Beliau menjangkakan dana itu akan dapat meliputi sekurang-kurangnya 10 pemilik premis warisan Kategori II bagi membiayai kos pembelian bahan binaan dan yuran profesional bagi kerja-kerja pembaikan fizikal dan pemuliharaan premis mereka.

“Penyewa jangka panjang juga memainkan peranan penting dalam pembangunan dan kemajuan George Town, mereka yang mendiami kawasan George Town menyumbang kepada nilai-nilai keunggulan daripada warisan pelbagai budaya,” katanya pada sidang media di pejabat George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) di sini hari ini.

Terdahulu, presiden Cheah Kongsi Peter Cheah; pemegang amanah Khoo Kongsi Datuk Khoo Kay Hock dan Ong Hai Boy, mewakili keluarga mereka sebagai penyewa di Lebuh Acheh, menandatangani perjanjian untuk menyertai program itu, dengan disaksikan Chow dan pengurus besar GTWHI Dr Ang Ming Chee.

Ang berkata GTWHI menerima tujuh permohonan daripada dua premis warisan semasa fasa perintis projek tersebut, dengan lima daripadanya daripada Khoo Kongsi dan dua melalui Cheah Kongsi.

Beliau berkata dua daripada lima permohonan Khoo Songsi sudah diluluskan dan anggaran kos pemuliharaan, masing-masing berjumlah RM167,000 dan RM190,000.

“GTWHI juga akan bertanggungjawab memantau kerja-kerja pembaikan dan pemuliharaan yang dijangka bermula tahun depan, di samping menggalakkan pemilik dan penyewa dalam tempoh jangka panjang bangunan warisan Kategori II itu untuk memohon skim tersebut,” katanya.

Program ‘George Town Heritage Habitat Seed Fund’ diumumkan pada Januari tahun ini oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk mengelak penduduk yang sudah lama mendiami kawasan itu daripada meninggalkan zon warisan tersebut.

— BERNAMA