Pulau Pinang peruntuk RM60 juta program Penang Sihat, tambah peruntukan Islam

Guan Eng diiringi anggota Exco Kerajaan Negeri berjalan keluar dewan selepas membentangkan Bajet 2018.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang meneruskan usaha menaik taraf sosioekonomi rakyat dengan memperkenalkan skim baru untuk kesejahteraan penduduk negeri itu.

Ketua Menteri Lim Guan Eng ketika membentangkan Bajet 2018 semalam mengumumkan peruntukan RM60 juta melalui program ‘Penang Sihat’ yang dikhususkan kepada isi rumah berpendapatan di bawah RM5000.

“Program yang akan dilaksanakan tidak lama lagi merupakan satu inisiatif baru ekoran tindakan kerajaan Pusat memotong kos perubatan serta rawatan kesihatan dalam bajet yang telah dibentangkan pada 27 Oktober lalu.

“Tindakan (kerajaan BN pusat) mengurangkan kos perbekalan barangan farmaseutikal serta kesihatan awam berjumlah RM19 juta daripada RM950 juta pada tahun 2017 kepada RM931 juta pada tahun 2018 adalah tidak wajar.

“Ekoran itu belanjawan marhaen yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri PH Pulau Pinang adalah bagi menyediakan pelbagai kemudahan untuk keperluan rakyat biasa,” jelasnya.

Menurut beliau, program baru yang akan dimulakan pada 2018 itu akan memberikan kredit sebanyak RM300 melalui kad I-Love-Penang kepada keluarga yang layak.

“Kad ini akan memudahkan golongan tersebut untuk mendapat rawatan di klinik swasta melibatkan RM50 bagi setiap rawatan yang diterima.

“Manakala bagi golongan yang belum mendirikan rumah tangga serta mempunyai pendapatan kurang dari RM2500 sebulan, layak untuk menerima kredit berjumlah RM250 setahun.

“Melalui program ini mereka tidak lagi perlu bimbang dengan caj mahal yang dikenakan bagi mendapat rawatan,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, peruntukan sebanyak RM60 juta tersebut mampu untuk memberi kemudahan kepada 195,000 isi rumah setahun.

Selain dari itu katanya, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukkan sebanyak RM15 juta bagi sokongan penjagaan anak bagi ibu yang bekerja.

Mulai tahun 2018 ujarnya, semua ibu yang bekerja dan berusia sehingga 60 tahun serta mempunyai anak berumur enam tahun akan mendapat sumbangan yang disediakan sebanyak RM300 setahun.

Sementara itu, Guan Eng turut mengumumkan peruntukan untuk hal ehwal agama Islam ditingkatkan dari RM50 juta pada 2017 kepada RM53 juta pada 2018.

Dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Penerangan Ketua Menteri Pulau Pinang Zaidi Ahmad menyenaraikan beberapa insentif yang diberikan kerajaan negeri untuk kebajikan rakyat berdasarkan Bajet 2018 yang dibentangkan Guan Eng.

Antaranya bonus RM2000 untuk kakitangan kerajaan negeri yang dibayar pada hujung Disember dengan RM1000 diberikan kepada kakitangan yang bermasalah disiplin.

Sumbangan sekaligus RM300 turut diberikan kepada guru agama, guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) dan guru sekolah persendirian Cina manakala RM200 untuk guru tahfiz, guru pondok dan Tadika Islam.

Kerajaan negeri turut menaiikan kadar bantuan tahunan warga emas dan OKU dari RM100 kepada RM130.

Bagi para peniaga kecil, kerajaan Pakatan Harapan negeri mengecualikan lesen perniagaan kepada 29,000 penjaja dan peniaga kecil bagi tahun 2018 dan memberi 2000 kanopi “I Love Penang” kepada penjaja dan peniaga yang terdedah.

Pengecualian cukai pintu untuk rumah kos rendah, sederhana rendah dan rumah kampung juga diteruskan.

Sejumlah RM15 juta peruntukan turut disalurkan bagi menyediakan perkhidmatan bas percuma di waktu puncak pagi dan petang.

Para nelayan turut tidak diabaikan apabila menerima baucer tunai bernilai RM400 disamping bantuan pukat percuma 2 kali setahun.

Guan Eng semalam membentangkan Bajet 2018 berjumlah RM1.25 bilion dengan defisit RM748.5 juta berbanding RM667.1 juta defisit tahun lepas.

Bajet defisit ini, jelas Guan Eng bukan berpunca daripada Perbelanjaan Mengurus Langsung sebanyak RM652.30 juta tetapi disebabkan oleh pindahan RM600 juta Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Perbangunan untuk pembiayaan projek-projek pembangunan yang dirancang berjumlah RM684.97 juta.

“Anggaran defisit atau kekurangan RM748.54 juta yang dijangka dalam Bajet 2018 akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, semalam.

Beliau berkata jangkaan hasil negeri bagi 2018 tidak meningkat, namun kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan dalam mengekalkan Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan Negeri supaya masih sama dengan anggaran 2017.

“Mengambil kira keperluan untuk menggiatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan dan menyediakan kemudahan pinjaman kepada badan-badan berkanun negeri, bagi merangsang serta menjayakan transformasi ekonomi negeri dengan matlamat keseluruhan mengutamakan kesejahteraan rakyat, maka pembentangan bajet defisit untuk tahun 2018 tidak dapat dielakkan,” katanya.

5.0
OVERALL SCORE
: 5.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS