Malaysia Dateline

Pulau Pinang peruntukkan RM20 juta bantu golongan terjejas Covid-19

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (empat dari kanan) bersama barisan exco kerajaan negeri Pulau Pinang di Georgetown semalam.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memperuntukkan bajet tambahan berjumlah RM20 juta sebagai pemberian insentif bagi meringankan beban golongan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow semalam.

Menurut beliau lagi, kerajaan negeri menyedari banyak sektor akan terjejas ekoran penularan wabak Covid-19.

Sejajar dengan itu katanya, berdasarkan kepada perkembangan semasa dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta disediakan khususnya bagi membantu peniaga kecil dan penjaja yang terjejas.

“Kerajaan negeri sedar bahawa banyak sektor akan menerima kesan daripada pelaksanaan perintah tersebut terutamanya golongan peniaga kecil dan penjaja.

“Usaha masih diteruskan oleh kerajaan negeri untuk mencari mekanisme yang terbaik bagi membantu golongan terbabit.

“Pasukan khas Covid-19 juga ditubuhkan oleh kerajaan negeri dengan mengadakan mesyuarat setiap hari mulai esok,” tegas beliau.

Malah ujar Chow, penjawat awam yang berada dibawah agensi kerajaan negeri yang tidak terlibat dengan perkhidmatan penting diminta untuk bekerja dari rumah mulai 18 sehingga 31 Mac.

Namun begitu katanya, mereka yang dibenarkan bekerja dari rumah tidak bererti mereka bercuti mahupun diberi pelepasan tugas, sebaliknya perlu bersedia untuk menunaikan kerja dan tugasan masing-masing.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri akan mematuhi segala langkah kawalan yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan menutup premis kerajaan kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting.

Tambahnya, semua pusat khidmat wakil rakyat akan turut mengikuti arahan penutupan tersebut, walau bagaimanapun mereka perlu bersiap sedia seandainya keadaan memerlukan.

Sementara itu katanya, semua exco kerajaan negeri akan terus berfungsi dan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan agenda dan isu-isu penting.