Malaysia Dateline

Pulau Pinang rancang pelbagai program sebagai destinasi kerjaya

Kerajaan negeri Pulau Pinang senantiasa peduli dan merencanakan pelbagai program bagi merealisasikan negeri ini sebagai sebuah destinasi kerjaya.

Menurut Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain, bagi tahun 2021 Pusat CAT ( Penang Career Assistance & Talent Centre) akan terus menganjurkan program-program yang berfokuskan mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi kerjaya atau pun ‘My Penang, My Workplace’.

“Beberapa siri webinar telah dirancang untuk diadakan sepanjang tahun ini bagi tujuan untuk menarik lebih banyak bakat dari seluruh negara ke Pulau Pinang.

” Syarikat-syarikat di Pulau Pinang akan dijemput untuk bersama-sama bagi berkongsi tips, pandangan dan juga topik terkini yang dapat membantu pencari kerja untuk memberi informasi dalam persediaan diri agar lebih relevan dengan permintaan pasaran kerja kini.

“Selain itu kita turut merancang untuk mengadakan ‘Career Exploration Week’ melalui Pusat CAT dengan menjemput syarikat-syarikat yang aktif dalam pengambilan pekerja untuk berkongsi peluang-peluang pekerjaan yang terdapat di syarikat masing-masing,” tegas beliau.

Malah katanya, dibawah portfolio beliau pelbagai usaha sedang dirancang bagi memastikan Pulau Pinang direalisasikan sebagai sebuah destinasi yang menyediakan peluang pekerjaan bukan saja kepada rakyat negeri ini, sebaliknya untuk semua rakyat dalam negara ini.