Malaysia Dateline

Pulau Pinang salur RM1.25 juta imarah masjid, Ihya Ramadan sejak 2009

Sebanyak RM1.251 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi meneruskan program pengimarahan masjid-masjid dan sumbangan Ihya Ramadan yang memasuki kali ke-12 tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM1 juta dikhususkan bagi program pengimarahan Masjid Negeri dan semua masjid daerah di negeri itu manakala RM251,000 adalah untuk sumbangan Ehya’ Ramadan.

Menurutnya, program pengimarahan masjid akan meliputi enam masjid utama iaitu Masjid Negeri bernilai RM510,000, Masjid Abdullah Fahim (RM130,000) dan semua masjid daerah iaitu Barat Daya, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan yang mana masing-masing menerima RM90,000.

“Peruntukan ini dimulakan sejak tahun 2009 lagi yang bertujuan memberikan ruang dan keselesaan untuk Masjid Negeri dan masjid daerah dalam menyediakan program serta aktiviti kepada jemaah dengan sebaiknya.

“Selain itu, peruntukan ini juga boleh digunakan untuk pemerkasaan Koperasi Kariah Masjid, Bantuan Rezeki kepada keluarga terputus bekalan makanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta program sanitasi Covid-19 dan lain-lain lagi,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti seperti dilaporkan Buletin Mutiara semalam.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ahmad Zakiyuddin kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Mohd. Zakuan Zakaria di Komtar, Pulau Pinang semalam.

Yang turut hadir, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor serta wakil-wakil JHEAIPP.

Ahmad Zakiyuddin berkata, program pengimarahan masjid bukan hanya tertumpu kepada masjid utama di bawah pentadbiran JHEAIPP semata-mata tetapi turut meliputi pemerkasaan peranan masjid kariah dan juga surau.

“Sebanyak 208 kariah masjid di seluruh negeri Pulau Pinang tidak termasuk enam masjid utama di bawah pentadbiran JHEAIPP yang kesemuanya merupakan masjid yang mendirikan solat Jumaat setiap minggu,” ujarnya.

Bagi sumbangan Ehya’ Ramadan pula, Ahmad Zakiyuddin memaklumkan bahawa peruntukan yang disediakan adalah meliputi semua masjid termasuk Masjid Negeri, Masjid Daerah, Masjid Kariah, Masjid Ghaira Jamek serta Surau Jumaat Khas.

“Untuk menyemarakkan lagi sambutan bulan Ramadan Al-Mubarak akan datang ini Kerajaan Negeri menyediakan sedikit sumbangan untuk disalurkan kepada masjid-masjid di seluruh negeri dengan kos RM251,000.

“Walau bagaimanapun, sumbangan ini tidak termasuk surau solat Jumaat sementara dalam tempoh PKP tetapi pihak Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) akan cuba mempertimbangkan untuk menyalurkan sumbangan Ramadan melalui peruntukan Zakat Pulau Pinang (ZPP),” katanya lagi.