Malaysia Dateline

Pulau Pinang sasar 220,000 unit rumah mampu milik menjelang 2030

Kerajaan negeri Pulau Pinang menyasarkan sebanyak 220,000 unit rumah mampu milik dibina menjelang tahun 2030.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo, kerajaan negeri akan meneruskan usaha bagi memberi peluang kepada rakyat negeri itu untuk memiliki kediaman sendiri termasuklah melalui skim sewa beli.

“Kerajaan negeri akan terus meningkatkan unit rumah mampu milik (RMM) untuk ditawarkan kepada penduduk negeri ini melalui pelbagai kategori.

“Daripada sasaran sebanyak 220,000 unit RMM menjelang tahun 2030, sebanyak sepuluh peratus daripadanya atau 22, 000 unit akan ditawarkan melalui kaedah sewa beli.

“Setakat ini sejumlah 3,451 unit kediaman tersebut atau 15.67 peratus akan disalurkan melalui kaedah sewa beli kepada mereka yang layak jika dibandingkan hanya sebanyak 2,510 unit pada tahun 2021 yang lalu,” ujar beliau.