Malaysia Dateline

Pulau Pinang sedia bantuan rakyat untuk pengusaha sukan

Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1 bagi pengusaha kegiatan sukan dan aktiviti kecergasan akan dibuka semula bagi meringankan beban pengusaha sukan yang telah terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Sejajar dengan itu, kerajaan negeri telah memutuskan untuk membuka semula pakej bantuan tersebut bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengusaha yang layak tetapi belum membuat permohonan atau pun permohonan terdahulu tidak diluluskan dan mengemukakan permohonan semula.

Menurut Exco Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Soon Lip Chee, keputusan ini diambil memandangkan sektor sukan merupakan salah satu sektor yang hanya dapat beroperasi semula pada peringkat akhir dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 2020.

“Bagi pengusaha yang telah berjaya memohon serta mendapat bantuan khas 3.1 dalam tempoh 26 Februari 2021 sehingga 15 Mac 2021 dan 1 April 2021 adalah tidak layak untuk membuat permohonan kali ini.

” Kelonggaran juga diberikan kerana terdapat sebahagian pengusaha kegiatan sukan dan aktiviti kecergasan tidak mampu memperbaharui lesen premis perniagaan dibawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tahun 2021 disebabkan pandemik Covid-19 dan kerajaan negeri telah memberi kelonggaran asalkan lesen premis perniagaan PBT mereka berstatus aktif sehingga 31 Disember 2020 dan layak untuk memohon bantuan tersebut.

“Manakala kriteria mereka haruslah mempunyai lesen PBT berstatus aktif sehingga 2021 atau pun lesen berstatus aktif sehingga 31 Disember 2020 maupun dalam peringkat permohonan lesen sekiranya mendapat kelulusan termasuklah berdaftar dan memegang sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang sah serta mengemukakan salinan penyata akaun perniagaan serta juga salinan kad pengenalan,” ujar beliau yang juga merupakan Adun Bagan Jermal.

Tambah beliau, permohonan pakej bantuan ini dibuka mulai sekarang sehinggalah 31 Oktober 2021 dan permohonan boleh dibuat melalui laman web elesen. mbpp. gov. my(Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP) serta juga http://bantuanrm500-covid. mbsp. gov. my/(Majlis Bandaraya Seberang Perai, MBSP).