Malaysia Dateline

Lim Guan Eng

Pulau Pinang setuju tandatangan Ikrar Bebas Rasuah dengan syarat

Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR), kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Namun ia dengan syarat 10 langkah integriti yang diamalkan pentadbiran negeri turut dimasukkan ke dalam inisiatif yang dipelopori Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menjemput Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad bagi membincangkan perkara itu di pejabatnya di Komtar pada hari Jumaat nanti.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mempunyai masalah untuk menandatangani IBR ini secara sukarela.

“IBR dan tambahan 10 langkah integriti ini akan ditandatangani pada 28 Julai oleh semua anggota pentadbiran Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

10 langkah integriti berkenaan termasuk amalan pentadbiran yang berlandaskan Prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus), menginstitusikan pengisytiharan harta secara terbuka oleh Ketua Menteri, barisan EXCO dan Adun serta melaksanakan tender terbuka yang kompetitif.

Bukan itu sahaja, kerajaan negeri tidak membenarkan ahli keluarga untuk melibatkan diri dalam kontrak kerajaan negeri atau berurus niaga dengan kerajaan negeri serta melarang Adun dan ahli pentadbiran daripada meluluskan permohonan tanah kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut mempersoal SPRM yang tidak memaklumkan kepada kerajaan negeri mengenai tawaran terbuka tanpa paksaan berhubung IBR berkenaan.

“Pulau Pinang tidak menyedari bahawa Kerajaan Negeri perlu menghubungi SPRM, dan bukan hanya menunggu daripada SPRM, sebagaimana yang dilakukan antara agensi kerajaan.

“Mengapa SPRM tidak hanya memaklumkan kepada kami, melalui telefon atau e-mel tanpa sebarang paksaan, yang kami boleh memilih atau tidak untuk menyertai inisiatif secara “sukarela” kepada SPRM untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR)?” soalnya.