Pulau Pinang terus hargai pekerja sektor sukar, bahaya dan kotor

Pulau Pinang terus hargai pekerja sektor sukar, bahaya dan kotor

Seramai 18 kakitangan sektor sukar, bahaya dan kotor (3D) Pulau Pinang menerima Pingat Kehormatan Negeri sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Tuan Yang Dipertua Negeri (TYT) Ke-78 Tun Datuk Seri Utama Dr. Hj. Abdul Rahman Abbas yang berlangsung baru-baru ini.

Dalam anugerah pingat itu, seramai 10 pekerja am Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menerima pengiktirafan manakala lapan penerima lagi dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Ketua Menteri Lim Guan Eng ketika menzahirkan ucapan tahniah berkata, anugerah itu sebagai penghargaan dan terima kasih kepada pekerja sektor berkenaan kerana menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang bersih, hijau, sihat dan selamat.

Menurut Guan Eng, kerajaan negeri amat memandang berat serta mengiktiraf usaha keras pekerja sektor 3D negeri itu yang sebelum ini seperti diabaikan.

Anugerah bagi pekerja sektor 3D di Pulau Pinang telah dimulakan sejak tahun 2010.

Anugerah itu antara lain untuk memastikan mutu kehidupan rakyat negeri itu sentiasa terjaga, bersih, selamat dan sihat, lapor Roketkini.

Melalui ketegasan dan keperihatinan kerajaan Pakatan Harapan, Pulau Pinang mengalami transformasi menyeluruh dan kini telah dipilih sebagai antara negeri paling bersih di Malaysia.

Kejayaan kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang memulihara persekitaran sihat membolehkan Georgetown dipilih sebagai bandar yang paling sesuai didiami untuk tahun 2011 dan 2012 oleh agensi antarabangsa, ECA International.