Malaysia Dateline

Pulau Pinang tidak terjejas, kata Ketua Menteri

Pulau Pinang dijangka tidak terjejas dengan perubahan landskap politik negara selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata beliau berpendapat tiada sebarang perubahan besar akan berlaku di negeri ini kerana Pulau Pinang mempunyai undang-undang anti-lompat parti sejak 2012.

“Niatnya secara keseluruhannya adalah untuk membentuk pakatan baharu sebagai kerajaan, malah di peringkat negeri. Jika mereka ada jumlah yang cukup untuk membentuk kerajaan baharu, mereka akan berjaya melakukannya.

“Bagaimanapun, di Pulau Pinang mereka tidak mempunyai jumlah yang cukup malah selepas tukar parti, jadi ia tidak akan membawa sebarang perbezaan,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Terdahulu, Chow menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nurini Kassim dan Ketua Pengarang agensi berita itu Datuk Mokhtar Hussain.

Chow yang juga pengerusi DAP Pulau Pinang menjelaskan undang-undang anti-lompat parti negeri walaupun diputuskan tidak berperlembagaan, masih belum diuji.

“Ia boleh digunakan sekarang, saya fikir masyarakat sivil tidak suka dengan perbuatan lompat parti khususnya dalam perkembangan politik ketika ini,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan negeri Pulau Pinang menyokong penuh Dr Mahathir untuk dilantik semula sebagai perdana menteri bagi menerajui pentadbiran negara.

Pulau Pinang dijangka tidak akan menyaksikan banyak perubahan dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri berikutan DAP menguasai kerusi dalam Dewan Undangan Negeri dengan memegang 19 daripada 40 kerusi.

PKR yang merupakan parti komponen PH  menguasai 14 kerusi manakala Parti Amanah Negara (Amanah) menguasai dua kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang keluar daripada PH semalam dan UMNO masing-masing memegang dua kerusi dan PAS dengan satu kerusi.– BERNAMA