Kerajaan Negeri Pulau Pinang memaklumkan masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat bersidang sebelum 1 Ogos ini di bawah peruntukan Ordinan Darurat.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan membuat keputusan akhir pada mesyuarat akan datang berhubung perkara untuk mengadakan sidang khas Dun sebelum tarikh berkenaan.
Selain itu katanya, mesyuarat juga akan membuat keputusan tentang cadangan sidang khas Dun diadakan pada Ogos 2021 apabila Ordinan Darurat ditamatkan tanpa memerlukan notis 28 hari.
“Kerajaan negeri juga akan bermesyuarat untuk mengadakan sidang Dun dengan pembukaan perasmian oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri pada Ogos atau September 2021 tertakluk kepada notis 28 hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.