Malaysia Dateline

Pulau Pinang turunkan harga siling rumah mampu milik 10 peratus

Kerajaan Pakatan Harapan negeri Pulau Pinang mengurangkan harga siling semua jenis Rumah Mampu Milik (RMM) 10 peratus bagi tempoh setahun.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo.

Jagdeep Singh Deo.

Jelas beliau lagi, dasar baru tersebut memberi peluang kepada pembeli pertama RMM untuk memiliki unit kediaman mereka serta merangsang ekonomi Pulau Pinang khususnya sektor hartanah yang telah terjejas teruk ekoran penularan wabak Covid-19 baru-baru ini.

“Kerajaan negeri amat berharap dasar baru yang dilaksanakan ini mampu untuk menjana ekonomi untuk bangkit semula serta projek-projek baru termasuk yang belum lagi mendapat lesen permit pengiklanan untuk dijual kepada rakyat.

” Dasar baru yang diumumkan ini telah pun mendapat maklum balas dari pelbagai persatuan termasuklah Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Swasta, Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang, Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang serta beberapa buah lagi pemegang taruh dikalangan rakyat negeri ini.

“Kerajaan negeri perlu merangsang sektor perumahan ini kerana apabila sektor hartanah ini kembali aktif semula, sudah pasti ia akan membawa manfaat dan impak yang besar kepada 140 sektor lain bagi ekonomi negeri ini,” tambah beliau lagi.

Tegas beliau selepas pengurangan harga siling sebanyak 10 peratus tersebut bagi seunit rumah yang berharga antara RM150, 000 hingga RM 300,000 akan berada pada harga antara RM135, 000 hingga RM270, 000.

Manakala itu katanya, bagi RMM di kawasan Seberang Perai pula harga seunit rumah antara RM150, 000 hingga RM250, 000 akan berkurangan antara harga RM135, 000 hingga RM225, 000.

Sejajar dengan itu ujar beliau, kerajaan Pakatan Harapan negeri Pulau Pinang akan terus mengekalkan harga rumah kos rendah dan sederhana rendah pada harga siling RM42, 000 dan RM72,500 berbanding dengan beberapa buah negeri lain yang turut meningkatkan harga antara RM60, 000 dan RM100, 000.