Malaysia Dateline

Pulau Pinang turunkan kadar penilaian kurangkan impak kenaikan cukai taksiran

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menurunkan kadar penilaian demi mengurangkan impak kenaikan kadar cukai taksiran yang bermula tahun depan, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow hari ini.

Beliau berkata Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah diarahkan untuk mengambil langkah tersebut demi membantu mengurangkan impak kepada semua pembayar cukai.

“Kerajaan sedang cuba untuk mengurangkan impak kepada yang paling rendah. Kadar penilaian telah diturunkan dari sembilan peratus kepada lapan peratus atau tujuh peratus kepada enam peratus (bergantung kepada jenis hartanah) berikutan kajian semula nilai tahunan,” katanya pada sidang media di sini.

Menurutnya, kebanyakan penduduk tidak akan dikenakan kenaikan kadar cukai taksiran yang mencecah sehingga ratusan ringgit dan hanya sebilangan kecil pemilik rumah akan dikenakan kadar sedemikian bergantung kepada jenis hartanah yang dimiliki.

Bagi kawasan MBPP, kenaikan cukai tahunan bagi kediaman bertanah (kos rendah dan sederhana rendah) dikenakan kadar maksimum kurang dari RM33, manakala kediaman bertanah (selain kos rendah dan sederhana rendah) kadar maksimumnya adalah kurang dari RM500.

Bagi kediaman berstrata (kos rendah dan sederhana rendah) pula, kadar kenaikan maksimum adalah kurang dari RM85 dikenakan dan kadar kenaikan maksimum bagi perumahan kondominium atau pangsapuri adalah kurang dari RM200.

Untuk kawasan MBSP pula, kediaman bertanah kos rendah dan sederhana rendah akan dikenakan kenaikan sehingga RM50, di bawah RM100 untuk kediaman bertanah, maksimum kurang dari RM30 untuk kediaman berstrata kos rendah dan sederhana rendah dan kurang dari RM50 untuk kondominium atau pangsapuri.

Chow berkata kenaikan kadar ini tidak akan memberikan impak yang besar di kawasan perumahan golongan B40 dan menyeru orang ramai yang tidak bersetuju supaya tampil mengemukakan cadangan atau rayuan supaya kerajaan negeri dapat membuat pertimbangan yang lebih baik.

“Kami akan menunggu hingga akhir tempoh bantahan untuk mengetahui maklum balas sebenar mengenai kadar ini Kami menjangka 10 hingga 20 peratus daripada pembayar kadar akan menghantar rayuan mereka,” katanya.

— BERNAMA