Malaysia Dateline

Pulau Pinang umum Pakej Bantuan 3.1 dengan kos RM8.41 juta

Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri yang bersidang pada 17 Februari lalu, telah memutuskan untuk meluaskan lagi bantuan kepada 19 golongan serta institusi paling terkesan, di bawah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, pakej terbaru yang diputuskan itu akan membabitkan implikasi kewangan kepada kerajaan negeri sebanyak RM8.41 juta.

Chow berkata, bantuan Khas Kewangan (BKK) RM1,000 secara one-off akan disalurkan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaftar dengan Small and Medium Enterprises Association (SAMENTA) Pulau Pinang bagi membantu membiayai sebahagian kos pendigitalan operasi.

“Bagi bantuan ini, kerajaan menganggarkan sekitar 1,000 penerima dengan implikasi kewangan RM1 juta.

“Kerajaan bersetuju memberi BKK RM500 secara one-off kepada pemandu bas, van persiaran, kereta sewa atau limosin pelancongan yang membabitkan kira-kira 351 penerima dengan implikasi kewangan RM175,500;

“Manakala BKK RM500 one-off akan diberikan kepada pemandu pelancong berdaftar. Anggaran penerima seramai 1,367 orang dengan jumlah RM683,500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, kerajaan negeri pada 21 Januari lalu telah memperuntukkan RM20 juta untuk Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.0.

Sementara itu Chow berkata, menerusi bantuan 3.1 ini, BKK RM500 secara one-off akan diberikan kepada pengusaha kantin dan kafeteria di institusi pengajian tinggi (IPT) awam, swasta, kolej dan institut latihan dengan anggaran 500 penerima.

Sebanyak RM2 juta pula akan diperuntukkan bagi bantuan peralatan kesihatan dan penyediaan kelengkapan Program Imunisasi Covid-19 di negeri itu.

Selain itu, BKK RM5,000 secara one-off akan disalurkan kepada pusat jagaan kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pusat perlindungan wanita di Pulau Pinang dengan anggaran 104 buah pusat.

Maklumat lanjut boleh di akses si laman web rasmi kerajaan Negeri Pulau Pinang, penang.gov.my.