Malaysia Dateline

Pulau Pinang umum RM4.11 juta elaun untuk 1,157 pegawai masjid

Kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan pemberian elaun bulanan kepada 1,157 pegawai masjid bermula bulan ini sehingga Jun tahun ini.

Insentif yang dianggarkan berjumlah hampir RM4.11 juta itu menurut Ketua Menteri Lim Guan Eng bakal memberi manfaat kepada 406 imam, 365 bilal dan 386 siak.

“70 peruntukan bagi membayar elaun pegawai-pegawai masjid ditanggung oleh Kerajaan Negeri, manakala 30 peratus lagi ditanggung oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP),” katanya kepada pemberita di Komtar.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, masing-masing imam, bilal dan siak akan menerima elaun sebanyak RM850, RM324 dan RM360 sebulan.

Beliau tidak menolak kemungkinan pemberian itu akan dipolitikkan pihak pembangkang di negeri itu yang sering memainkan sentimen perkauman sempit.

“Apabila Kerajaan Negeri menaikkan peruntukan hal ehwal pembangunan Islam sebanyak 84 peratus, kita diserang sebagai ‘anti-Cina’, ‘angkat undi Cina tapi bantu orang Melayu’.

“Permainan perkauman ini tidak harus diteruskan, kerajaan negeri perlu bantu semua orang tanpa mengira apa fahaman pun, latar belakang bangsa atau agama,” tegasnya.

Pentadbiran Pakatan Harapan di Pulau Pinang sering ditohmah bersifat perkauman hanya kerana menaikkan peruntukan hal ehwal agama Islam di negeri itu.

Untuk rekod, peruntukan hal ehwal Islam dari tahun 2008 sehingga kini dianggarkan sebanyak RM457.05 juta, meningkat 84 peratus berbanding tempoh sama pemerintahan Umno-BN.

Ekoran itu, pentadbiran negeri yang diterajui DAP di negeri itu sering dilemparkan dengan pelbagai tuduhan seperti anti-Cina oleh parti-parti majoriti Cina dalam BN dan anti-Melayu oleh Umno dan Pas.

Pengerusi MCA Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng dilaporkan media pada 7 Feb tahun lalu mendakwa kerajaan negeri diterajui DAP mengambil undi Cina semasa pilihan raya tetapi hanya menjaga orang Melayu selepas menang.

Manakala Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman pada 19 Dis lalu mendakwa pembelaan terhadap orang Melayu dan Bumiputera akan terhakis jika DAP terus memerintah negeri.