Malaysia Dateline

Pulih ekonomi, tangani kos sara hidup – Ini tugas utama Anwar, kerajaan perpaduan

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baharu diumum sebagai Perdana Menteri ke-10 mempunyai tugas penting dalam memulihkan ekonomi.

Pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Zulkanain Abdul Rahman berkata, langkah pemulihan ekonomi penting diutamakan memandangkan ramai yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.

“Satu tugas utama Anwar ialah pemulihan ekonomi. Ini keutamaan yang paling perlu diberi perhatian selain menangani inflasi.

“Kita kini berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup dan masalah pengangguran.

“Pemulihan ekonomi ini sangat diperlukan kerana ada hubung kait dengan impak Covid-19 sebelum ini,” katanya di Awani sebentar tadi.

Pelantikan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, pagi tadi.

“Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Tambun) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

“Ia selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” demikian menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin melalui satu kenyataan, hari ini.

Baca juga Sembilan negeri ekonomi tertinggal – Ini pesan pakar buat mereka yang bakal membentuk kerajaan

Baca juga Ambil ubat kemurungan dan ubat tidur, Puteri Balqis hanya reviu produk sesuai dengan umur