Pulihkan wibawa serta imej PDRM, kata MP Kepong

Pulihkan wibawa serta imej PDRM, kata MP Kepong

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditubuhkan 10 Mei lalu, beliau telah dikunjungi sebilangan anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Mereka kata Lip Eng, telah menyuarakan pandangan supaya reformasi segera dilakukan ke atas PDRM sebagai suatu langkah memulihkan imejnya yang calar.

“Setelah memikirkan semula semua isu yang dibangkitkan oleh pegawai PDRM berkenaan dan menyelidiki kesahihannya, di sini saya kemukakan beberapa isu penting yang saya percaya boleh diselesaikan oleh kerajaan sekarang,” kata beliau dalam kenyataan medianya semalam.

Jelas beliau, terdapat keperluan yang serius untuk membersihkan Divisyen 7 atau lebih dikenali sebagai “D7” di Bukit Aman kerana terdapat banyak isu yang didakwa melibatkan rasuah berlaku dalam kalangan anggota D7.

Katanya, D7 adalah unit yang ditugaskan untuk membanteras pelacuran, judi dan aktiviti bawah tanah, namun bukanlah suatu rahsia bahawa kebanyakan kelab malam menggunakan khidmat wanita asing untuk memikat pelanggan bagi aktiviti judi di Malaysia.

Lim Lip Eng

“Bagaimana unit yang khusus ditugaskan membanteras aktiviti ini tidak tahu akan kewujudannya? Kita tidak boleh mempersalahkan pihak yang mendakwa bahawa D7 terlibat dengan rasuah kerana gagal berfungsi sebagaimana sewajarnya,” kata beliau.

Ujarnya lagi, kes-kes melibatkan pegawai tinggi polis perlu disemak semula.

Kata beliau, umum mengetahui bahawa Ketua Polis Negara (IGP) mengaku mengetahui orang tengah yang terlibat dalam jaringan perlindungan polis terhadap aktiviti pelacuran di Melaka.

“Bagaimanapun tidak ada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa sama ada PDRM atau SPRM dan isu ini memburukkan imej PDRM,” tambah peguam DAP itu.

Seterusnya kata Lip Eng, beliau difahamkan bahawa PDRM selalunya menggunakan terlalu banyak eset daripada yang diperlukan untuk melaksanakan fungsinya.

Sebagai contoh kata beliau, beliau difahamkan bahawa PDRM menggunakan terlalu banyak motosikal (berkuasa tinggi) daripada yang diperlukan.

“Mengapa harus berlaku pembaziran sedemikian jika tiada motif tertentu dalam pembeliannya?” soal beliau.

Beliau berharap perkara-perkara seperti ini tidak berulang dan berharap kerajaan yang baharu mengambil langkah sewajarnya dan pegawai-pegawai yang terlibat dengan salah laku rasuah perlu diambil tindakan.

8.0
OVERALL SCORE
: 6.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS