Malaysia Dateline

Puluhan kali akui diri bukan robot, ramai kecewa gagal dapat tempah vaksin

Orang ramai meluahkan kekecewaan ekoran gagal menempah suntikan vaksin AstraZeneca selepas hanya satu jam tempahan dibuka.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi akaun Twitter memaklumkan mereka yang layak akan menerima janji temu dalam masa terdekat.

“Terima kasih bagi mereka yang mendaftar untuk membantu negara mencapai imuniti kelompok,” memetik kenyataan itu.

Sebelum itu, JKJAV memberitahu lebih daripada 300,000 tempahan janji temu vaksin AstraZeneca pusingan kedua telah dibuat, setakat kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi.

“Kami maklum masih ada yang tidak boleh berbuat demikian. Sila cuba lagi sebentar nanti,” katanya.

Terdahulu, ramai pihak mengadu gagal memperoleh akses sejak tempahan dibuka mulai jam 12 tengah hari.

Hal tersebut dipercayai berkemungkinan disebabkan faktor trafik tinggi.

Bahkan, walaupun berjaya menembusi sistem, tidak kurang juga mengeluh kebanyakan slot sudah penuh walaupun ruang tempahan masih bertanda hijau.

Selain itu, butang pilihan negeri juga sukar ditekan dan apabila berjaya, slot pilihan tarikh pula telah penuh.

“Rasanya dekat 25 kali aku terpaksa mengaku aku bukan robot hari ni. Tak pernah seteruk ini aku diragukan tentang kemanusiaan aku,” kata pengguna Twitter @IniAlannn.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata pusingan kedua tempahan slot janji temu vaksin Covid-19 AstraZeneca akan diberi keutamaan kepada penduduk di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang, Kuching dan Miri, Sarawak.

Beliau memaklumkan, sebanyak 1,261,600 dos diperuntukkan bagi pusingan kedua Pelawaan Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) susulan penghantaran vaksin pada 21 Mei lalu dan satu lagi dijadualkan pada akhir bulan ini.