Puluhan kampit beras dan sardin hilang sekelip mata, tapak pelupusan sampah sudah ‘clear’?

Oleh WAN SITI AMINAH

Rakaman gambar dan video yang memaparkan keadaan terkini di sebuah kawasan pembuangan sampah telah mengundang perbincangan hangat di media sosial.

Mana tidaknya, kawasan berdekatan laluan pintasan Rumpun Makmur – Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau, Pahang yang sepatutnya dipenuhi sampah kini terlihat sangat lapang.

Malah bekalan makanan berupa puluhan kampit beras, tin sardin dan tepung yang sebelum ini dibakar di tapak tersebut juga difahamkan telah dibersihkan sepenuhnya.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh seorang lelaki dipercayai penduduk Kuala Krau menerusi satu hantaran tular dimuat naik di laman Facebook miliknya, @Khomeini Kjs.

“Siapa-siapa yang mahu pergi Rumpun Makmur Gunung Senyum untuk kutip beras, tepung dan lain-lain itu tak payahlah pergi. Sudah kosong, mungkin sampai jam 3 ke 4 pagi dikerjakan (dibersihkan).

“Video tapak lawatan (di kawasan pembuangan sampah) turut disertakan. Lapang dan laju. Hebat kerjanya,” tulis pengguna Facebook berkenaan dalam hantaran tersebut.

Terdahulu, tular satu rakaman dikongsi orang awam memaparkan pembuangan dan pembakaran puluhan kampit beras, tin sardin dan tepung di tapak pelupusan sampah tersebut.

Perkongsian tersebut telah menimbulkan kemarahan pengguna media sosial ekoran bekalan makanan berkenaan dibuangkan begitu sahaja sedangkan masih ramai orang memerlukannya.

Tinjauan turut mendapati, ramai pengguna mengatakan bahawa stok makanan itu mungkin dibuang kerana sudah luput tarikh dan rosak kerana disimpan terlalu lama.

Wujud juga dakwaan kononnya bekalan makanan itu dibuang oleh seorang ahli politik di mana ia sepatutnya diagihkan kepada mangsa banjir di sekitar daerah Temerloh dan Maran.

Namun setakat ini, masih belum ada mana-mana pihak tampil memberikan kenyataan untuk mengaku atau menafikan sebarang dakwaan yang dibuat oleh pengguna media sosial.

Baca juga: Lelaki umur 59 tahun ‘kantoi’ pandu kereta mahal selama 7 tahun tanpa ‘road tax’, bagi alasan “bawa dekat-dekat je”