PUNB lulus pembiayaan RM134 juta kepada 726 syarikat bumiputera sehingga Dis 2018

PUNB lulus pembiayaan RM134 juta kepada 726 syarikat bumiputera sehingga Dis 2018

Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM134.02 juta kepada 726 buah syarikat dan perniagaan automotif sehingga Dis, 2018, yang melibatkan seramai 845 usahawan Bumiputera termasuk pengedar minyak enjin kenderaan serta pusat tuntutan insuran dan kemalangan.

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Izwan Zainuddin berkata negeri Selangor berada dikedudukan pertama dengan jumlah kelulusan sebanyak RM83.61 juta yang melibatkan 234 syarikat dan perniagaan, manakala Negeri Sembilan di tempat kelapan dengan jumlah kelulusan pembiayaan RM16.56 juta yang melibatkan 34 buah syarikat dan perniagaan.

“Ini merupakan suatu perkembangan yang baik, namun, PUNB berhasrat untuk mengukuhkan lagi kedudukan Bumiputera khususnya di negeri ini terutama dalam bidang pembekalan alat ganti kenderaan yang kini dimonopoli oleh usahawan bukan Bumiputera,” katanya pada majlis perasmian pusat perkhidmatan automotif SRM Ukhwah Holding Sdn Bhd Cawangan Bandar Enstek, dekat sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah MARA (Keusahawanan) Datuk Zulfikri Osman, Pengarah MARA Negeri Sembilan Mimi Mazlin Mohamad Yusof dan Pengarah Urusan SRM Ukhwah Holding Sdn Bhd Shahrael Azahar Abdul Rahman.

Izwan berkata tahun ini PUNB telah membuat beberapa perubahan dalam hala tuju dan strategi korporatnya mengikut perkembangan, tuntutan dan keperluan pembiayaan pada masa kini, yang mana salah satunya adalah pembiayaan kewangan PUNB yang kini ditawarkan bermula daripada RM100,000 sehingga maksimum RM10 juta.

“Malah, tempoh pembiayaan juga dipanjangkan sehingga 10 tahun. PUNB juga telah mengaktifkan semula khidmat sokongan perniagaannya untuk membantu operasi dan pengurusan perniagaan ke arah tadbir urus yang lebih mantap,” katanya.

Menyentuh mengenai SRM Ukhwah Holding, beliau berkata syarikat tersebut mendapat pembiayaan daripada PUNB pada 2009 dan sejak itu perniagaannya telah berkembang pesat dan berjaya mendapat kepercayaan PUNB untuk meluluskan dua lagi pembiayaan tambahan pada 2013 dan 2016.

“Ternyata formula perniagaan dan pengalaman Encik Shahrael selama lebih 10 tahun dalam bidang ini telah membuahkan hasil dengan pembukaan cawangan perniagaannya yang kelima di Bandar Enstek hari ini.

“Saya difahamkan syarikat itu turut mendapat pembiayaan daripada MARA. Saya amat berharap sokongan pembiayaan oleh PUNB dan MARA akan menjadikan kedudukan dan operasi syarikat ini semakin mantap dan terus maju dalam perniagaan,” kata Izwan.

Sementara itu, Zulfikri berkata di seluruh negara terdapat kira-kira 56,000 pusat servis termasuk 35,000 bengkel dan daripada jumlah itu hanya 10 peratus sahaja adalah bengkel yang diusahakan oleh usahawan Bumiputera.

“Oleh itu usaha yang lebih kuat lagi perlu kita adakan dengan mengembeleng tenaga antara agensi kerajaan dan juga pemain industri untuk sama-sama membantu mempertahankan perniagaan yang sedia ada,” katanya.

— BERNAMA