
Punca kematian akibat rabies di Sarawak belum disahkan
Punca kematian kanak-kanak berusia 5 tahun akibat rabies di Sarawak belum dapat disahkan kerana Kesihatan Malaysia (KKM)masih lagi menunggu keputusan ujian makmal dari Insitusi Penyelidikan Perubatan (IMR).
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Jamilah Hashim, kanak-kanak berkenaan mula sakit pada 30 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 31 Oktober lalu kerana mengalami gejala demam, keletihan, kurang makan dan minum serta berhalusinasi.
Jelasnya, sepanjang tempoh rawatan di HUS keadaan pesakit bertambah tenat sebelum kanak-kanak tersebut meninggal dunia pada 2 November.
“Setakat ini tiada sejarah gigitan haiwan dapat dikenal pasti. Diagnosa kes akan diketahui sebaik menerima keputusan makmal dari Insitusi Penyelidikan Perubatan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuching semalam.
Beliau turut menasihati orang ramai, sekiranya digigit oleh haiwan, untuk segera mencuci luka gigitan dengan sabun dan air yang mengalir sekurang-kurangnya 15 minit.
Tambahnya,selepas itu mangsa gigitan harus mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera di klinik atau hospital kerajaan berdekatan.
Sehingga Oktober lalu, jumlah kes kematian rabies yang dilaporkan di Sarawak adalah seramai 30 orang sejak wabak itu diisytiharkan di Sarawak pada 1 Julai 2017.
Kes terbaharu itu ialah melibatkan seorang lelaki berusia 64 tahun yang berasal dari Mukah