Punca kematian Orang Asli diketahui selepas ujian

Punca kematian Orang Asli diketahui selepas ujian

Punca sebenar kematian Orang Asli di Kampung Kuala Koh di Kelantan akan diketahui dalam masa terdekat selepas ujian Serologi dan ‘polymerase chain reaction’ (PCR) selesai dilakukan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Ketika ini, katanya Hospital Gua Musang dan Hospital Kuala Krai sedang melakukan beberapa ujian klinikal lanjutan bagi menentukan penyebab kepada jangkitan dan kematian.

Berdasarkan bedah siasat ke atas dua mayat, pihaknya setakat ini hanya boleh mengesahkan punca kematian adalah disebabkan jangkitan virus sekunder atau mikroorganisma, katanya.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

“Untuk ketahui punca sebenar kita tunggu hasil ujian Serologi dan PCR yang sedang dijalankan pihak hospital,” katanya pada sidang media selepas sesi townhall Menteri Kesihatan bersama pengamal perubatan am swasta (GPs) pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kejadian menimpa Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh baru-baru ini, yang didakwa dilanda penyakit misteri sehingga mengakibatkan sebilangan kematian.

Mengikut suku kaum itu, berlaku 14 kematian dengan mangsa dikebumikan secara adat oleh penduduk kampung, tetapi polis memaklumkan hanya menerima dua laporan berkaitan kematian terbabit.

Semalam, Dr Dzulkefly dilaporkan berkata kementeriannya bersama agensi lain akan cuba mengenal pasti lokasi 12 mayat Orang Asli yang dikatakan dikebumikan itu untuk menjalankan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata masalah kesihatan yang melanda penempatan Orang Asli Suku Batek itu menyaksikan 99 penduduk dirawat dengan empat daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu.

Beliau berkata pihaknya juga sedang menunggu hasil ujian terhadap sampel air yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mendapatkan gambaran menyeluruh punca penyakit yang melanda penempatan tersebut.

Katanya polis juga mula melakukan sekatan dan tapisan bagi mengehadkan pergerakan keluar masuk ke kawasan tersebut bagi mengelak sebarang risiko jangkitan atau penularan penyakit.

Pengamal media yang membuat liputan di kawasan itu juga perlu melapor kepada klinik kesihatan berdekatan untuk tujuan pemantauan kesihatan selepas selesai tugasan, katanya.

Berhubung pertemuan bersama GPs, Dr Dzulkefly memaklumkan bahawa kerajaan tidak menolak cadangan pindaan pelarasan kadar fi perundingan dan tatacara bagi klinik perubatan am dan swasta, sebaliknya mahu ia diperincikan dalam perbincangan bersama Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (MTKSHN).

“Secara asasnya, kerajaan memahami keperluan dan rasional cadangan pindaan tersebut tetapi Kabinet mencadangkan perkara ini dibincang terlebih dahulu dalam mesyuarat MTKSHN sebelum dibentangkan semula untuk pertimbangan dan persetujuan jemaah menteri,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata pihaknya tidak berada dalam tekanan untuk melaksanakan perubahan itu walaupun isu tersebut telah menjadi topik hangat dalam kalangan GPs, satu entiti yang penting dalam sektor kesihatan, sejak lebih 15 tahun lalu.

“Kita akan cuba selesaikannya tanpa membebankan mana-mana pihak,” katanya.

Sesi townhall yang julung kali dibuat membabitkan menteri kesihatan dan pengamal GPs itu berlangsung hampir empat jam dengam dihadiri 836 peserta.- BERNAMA