Malaysia Dateline

Punca lif PPR Kampung Kerinchi terhempas diketahui dalam masa terdekat

Hasil siasatan bagi mengetahui punca lif di pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi di Kuala Lumpur terhempas sehingga menyebabkan lapan individu cedera petang semalam, dijangka diketahui dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata siasatan yang dijalankan oleh pihak berkenaan, termasuk pihak kontraktor dan bomba, akan dibuat dengan terperinci dan meliputi seluruh aspek termasuk penyelenggaraan lif tersebut sebelum ini.

“Kita tidak tahu lagi apa sebab sebenarnya, (antaranya) adakah syarikat yang patut mengendalikan lif itu menjalankan tugas seperti yang sepatutnya. Jadi kita kena tungggu laporan untuk spesifik kes ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Aspirasi Merdeka 2019, di Kompleks Muzium Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Raja Kamarul Bahrin Shah turut menyeru penghuni PPR dan Perumahan Awam seluruh negara supaya sentiasa memaklumkan kepada pihak berwajib sekiranya lif di kawasan mereka tidak diselenggara dengan baik atau selalu rosak.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang semalam itu, sembilan individu menaiki lif berkenaan namun sebaik tiba di tingkat lima, lif tersebut mengalami kegagalan sebelum terhempas.

Insiden tersebut mengakibatkan lapan individu termasuk seorang kanak-kanak 10 tahun cedera, antaranya patah kaki, cedera di pergelangan kaki, dan tangan.

Sementara itu, Program Aspirasi Merdeka 2019 merupakan acara tahunan sejak 2014 anjuran Radio Televisyen Malaysia melalui Bahagian Program Radio.

Ketua Pengarah Penyiaran, Abdul Muis Shefii berkata ia diadakan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan rasa cintakan negara serta menggalakkan pengibaran Jalur Gemilang dalam kalangan pelajar sekolah, warga jabatan dan agensi terlibat, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Aktiviti ini diharapkan dapat memberi kefahaman kepada para peserta untuk mengetahui sejarah pejuang-pejuang negara dan usaha pemimpin terdahulu bagi mencapai kemerdekaan dan menjaga maruah bangsa,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program tersebut.

Katanya Terengganu dipilih sebagai lokasi permulaan bagi Program Aspirasi Merdeka 2019, dan sambutan akan turut diadakan di setiap negeri pada tarikh berlainan sebelum berakhir di Pulau Pinang pada bulan depan.

Majlis pelancaran hari ini menampilkan pelbagai acara menarik yang berkonsepkan belajar sambil bermain, termasuk pertunjukan perahu kolek, persembahan kertuk ulu dan sukaneka tradisional.

— BERNAMA