Malaysia Dateline

Punca pening, berpinar mata tengok filem Mat Kilau sudah diketahui

Satu sedutan rakaman video semasa penggambaran Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan tersebar di media sosial menampakkan Syamsul Yusof sedang mengendalikan kamera semasa babak pertarungan.

Susulan itu, terjawablah sudah persoalan ramai penonton yang sebelum ini mengeluh mendakwa pening dan berpinar mata menonton filem ini di pawagam.

Ramai yang mengeluh dan sukar menghayati perjalanan cerita filem arahan Syamsul itu terutama semasa aksi pertarungan apabila kamera bergegar secara keterlaluan.

“Cukuplah sekali saja saya tengok di panggung hari tu. Sakit kepala,” keluh Noor Shazreen Mohamad Jamal manakala Noor Asyrul Fazly Ahmad menulis, “Patut pakai gimbal stand, tangan bergegar pun tetap hasilkan shooting statik”.

Dalam masa sama, ada yang menganggap Malaysia ketinggalan dalam memanfaatkan teknik imej janaan berkomputer (CGI) untuk filem tersebut.

Bagaimanapun, pengguna Facebook, Muhammad Qawiem Suhaimi menolak dakwaan itu kerana banyak syarikat di negara ini dengan kepakaran tempatan yang sudah terlibat dengan CGI dan VFX untuk sejumlah filem Hollywood.

“Cuma mungkin budget filem-filem Malaysia saja tak lepas nak guna CGI dan VFX dari pakar-pakar yang ada ini,” katanya.

Selain itu, kalangan warganet berpendapat teknik kamera bergegar itu mungkin gaya Syamsul seperti pernah menjadi trend pengarahan filem Amerika Syarikat (AS) terutama melibatkan aksi pertarungan.

“Dekat AS pun ada juga movie fight scene gegar-gegar ni, tapi sekarang dah kurang sebab pengarah nak nampak realistik dalam babak pertarungan,” komen seorang netizen.

Sehubungan itu, ada yang menyifatkan filem yang mula disiarkan secara global pada 16 September lalu menerusi platform penstriman digital, Netflix itu mendapat sambutan amat hangat bukan kerana pengarah.

“Kutipan yang tinggi bukan kerana kehebatan Samsul tetapi kehebatan pada tajuk filem dan tokoh yang ditonjolkan,” kata Muzamal Mus.

Mat Kilau mencipta sejarahnya sendiri apabila mengutip sebanyak RM90 juta selepas 33 hari ditayangkan di pawagam sekaligus menjadi filem dengan jumlah kutipan paling tinggi dalam sejarah perfileman negara.

Baca juga Dialog meneran dengan ayat tasawuf berulang, mengapa penggemar filem ini beri Syamsul Yusof hanya 4.5 / 10