Malaysia Dateline

Punca sebenar kematian Orang Asli Kuala Koh masih belum diketahui, kata Menteri Kesihatan

Menteri Kesihatan memaklumkan bahawa punca sebenar kematian Orang Asli di Kampung Kuala Koh, Kelantan, masih belum diketahui puncanya.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dalam siasatan awalnya mendapati penduduk Orang Asli berkenaan kemungkinan dijangkiti bakteria dan mengalami jangkitan sekunder disebabkan virus.

“Punca (kematian) belum dapat kami kenal pasti secara tepat dan muktamad, tapi kami meneruskan siasatan dan akan teruskan dengan ujian serologi dan
‘polymerase chain reaction (PCR)’ dengan lebih mendalam.

“Kita juga masih dalam siasatan lanjut dan belum menerima sebarang keputusan terbaharu tentang kajian penyakit yang dihadapi kaum Orang Asli itu,” katanya.

Beliau juga menafikan penyakit yang bermula batuk, demam, selesema dan berlakunya sesak nafas berpunca akibat kencing tikus tetapi berkemungkinan akibat dari virus lain yang mudah berjangkit melalui pernafasan.

Tambah Dzulkefly, setakat ini seramai 50 penduduk Orang Asli dari kampung itu menerima rawatan di tiga hospital negeri itu.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 37 orang masih menerima rawatan di Hospital Gua Musang, 12 orang di Hospital Kuala Krai dan seorang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Dr Zaini Hussin berkata pihaknya akan mengehadkan pergerakan orang awam dari memasuki perkampungan terbabit supaya tiada penyakit berjangkit yang akan merebak.

“Kalau kita lihat kepada corak, jangkitan ini lebih tertumpu kepada jangkitan pernafasan dan ia cepat merebak. Sebab itu dalam keadaan ini kita tidak mahu penyakit merebak dengan lebih luas. Jadi kita akan mengehadkan dari segi pergerakan supaya mereka tidak terdedah kepada jangkitan melalui pernafasan.

“Kepada anggota kita yang nak masuk ke sana pun kita tegaskan supaya mereka menggunakan kelengkapan pelindungan diri yang lengkap supaya tidak dijangkiti dan juga menjangkiti orang lain,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan selepas mendenar taklimat bersama pegawai dan kakitangan Hospital Gua Musang, Kelantan hari ini.

Kementerian Kesihatan juga katanya, berdepan kesukaran untuk menjejaki dan mendapatkan 12 mayat Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang yang meninggal dunia akibat jangkitan pada saluran pernafasan yang menjejaskan kesihatan komuniti itu sejak Mei lalu.

Turut sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy yang bertanggungjawab atas hal ehwal komuniti Orang Asli.

Dr Dzulkefly berkata,Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ini kerana pasukan perubatan tidak dapat menjejaki lokasi spesifik mayat-mayat tersebut dikebumikan.

“Setakat ini dua bedah siasat terhadap mangsa yang meninggal dunia telah dilaksanakan di hospital ini dan tidak ada masalah untuk bedah siasat kesemua yang mati dan memang wujud keperluan juga.

“Cuma polis dan pihak kami tak pasti di mana mereka tanam orang yang mati itu kerana mereka telah berpindah meninggalkan penempatan ekoran penularan penyakit tersebut hingga sukar untuk menjejakinya.

“Kita tidak tahu lokasi spesifik mereka simpan dan tanam mayat mereka yang meninggal dunia untuk membolehkan kita gali semula dan melakukan bedah siasat yang mungkin memberi kita penyelesaian punca jangkitan penyakit ini,” katanya.