Nampaknya Sarjan Alang bukan ‘calang-calang’, artis popular pun ajak bergambar!

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa tidak kenal dengan Sarjan Alang, seorang lelaki istimewa yang berjaya mencuit hati rakyat Malaysia kerana sering berkelakuan seperti anggota polis.

Turut mengenakan pakaian menyerupai anggota beruniform berkenaan, Sarjan Alang selalu dilihat berada di tepi jalan seolah-olah mengawal trafik di sekitar Meru, Klang.

Baru-baru ini, penyanyi dan pengacara terkenal iaitu Alif Satar memuat naik rakaman untuk berkongsi keterujaannya kerana dapat berjumpa dengan individu istimewa itu.

Difahamkan, mereka berdua berada di sebuah majlis dianjurkan oleh sebuah stesyen minyak di Jalan Meru 2 yang berhampiran dengan lokasi Sarjan Alang ‘bertugas’.

Menerusi satu hantaran di TikTok, Alif dilihat berlari-lari anak bersama rakannya untuk menemui Sarjan Alang setelah mengetahui mereka berada di lokasi yang sama.

Korang, kami jumpa Sarjan,” kata Aliff dalam nada yang begitu teruja sambil berlari ke arah insan kurang upaya (OKU) yang cukup dikenali ramai di aplikasi TikTok itu.

Dalam rakaman berdurasi 48 saat itu, Aliff dilihat mendekati dan memberikan tabik hormat kepada Sarjan Alang sebelum bersalaman dan memeluk insan istimewa terbabit.

Pemilik nama sebenar Muhammad Alif Mohd Satar itu juga sempat bertanyakan sekiranya Sarjan Alang sudah makan dan turut memuji ‘misai’ milik lelaki berkenaan.

Sarjan Alang juga nampaknya tersenyum gembira dan langsung tidak kekok melayan serta beramah mesra bersama ‘peminat’ yang datang untuk bertemu dengannya.

Tular di media sosial, rakaman yang dikongsikan oleh Aliff Satar itu telah berjaya meraih 1.7 juta tontonan bersama 210,300 tanda suka daripada pengguna platfrom TikTok.

Rata-rata pengguna terhibur dengan keterujaan selebriti popular seperti Aliff yang memiliki ramai peminat namun begitu gembira apabila dapat berjumpa dengan Sarjan Alang.

“Semakin popularlah Sarjan Alang selepas ini. Geng Solat Subuh Macam Jumaat jumpa dia siap tabik hormat lagi. Memang terkenal baii,” kongsi seorang pengguna.

“Orang lain berlari kalau tengok artis. Ini artis yang berlari ke arah kau ye Bang. Memang (layak dipanggil) Sarjan.” Seloroh pengguna lain yang menonton rakaman tersebut.

Baca juga: “Aik bang alumni ke…”, Mat Saleh rakam momen graduasi guna lagu UiTM bikin netizen Malaysia heboh