Zaman sekarang nak buat maksiat tidak kira tempat, dalam kenderaan mahupun di motel, masing-masing tidak peduli asalkan dapat puaskan nafsu.
Takut ditangkap khalwat pasangan kekasih yang masing-masing berusia 44 tahun dan 25 tahun merempuh kereta Peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) daerah.
Menurut Harian Metro, kejadian didakwa berlaku di Jalan Sungai Tuang, Kuala Sungai Baru Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku 9.45 malam ketika dua anggota membuat rondaan pencegahan jenayah di kawasan.
Anggota tersebut dikatakan berhenti untuk memeriksa pacuan empat roda Ford Ranger dinaiki pasangan terbabit.
Kenderaan tersebut dihampiri kerana berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan sunyi serta gelap.
“Anggota peronda memberhentikan kenderaan di belakang Ford Ranger itu dengan menyalakan lampu becon light.
“Namun pemandunya cuba melarikan diri dengan mengundurkan kenderaan sehingga melanggar kenderaan pasukan polis.
“Suspek lelaki berusia 44 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan bersama seorang wanita berusia 25 tahun di dalam kenderaan itu,” katanya dalam kenyataannya semalam.
Beliau berkata, pasangan berkenaan didapati bertindak sedemikian kerana takut ditangkap khalwat.
“Kejadian itu menyebabkan MPV Polis mengalami kerosakan pintu hadapan sebelah kiri penumpang, pecah cermin tingkap dan pintu tidak boleh dibuka lagi.
“Kedua-duanya ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya.
Baca juga: Kisah anjing selalu berwajah sedih, setiap hari merenung pantai berjam-jam tunggu tuannya kembali