Malaysia Dateline

Pupuk persaudaraan walau berbeza pandangan politik, kata Mujahid

Seorang muslim dilarang mengkafirkan muslim lain sewenang-wenangnya, kata Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata, tiada siapa yang boleh mempertikaikan hal itu, malah menjadi tanggungjawab semua umat Islam untuk memupuk persaudaraan walau berbeza pandangan politik.

Jelas bekas Menteri Agama itu, Taklif Imani atau tanggungjawab keimanan terikat kepada semua saudara seakidah walaupun berbeza pandangan politik masing-masing.

“Keterikatan akidah mereka tidak boleh diwajarkan untuk terputus atas alasan kekelompokan atau kepuakan,” katanya.

Kata Mujahid lagi, kekeliruan dari kenyataan seorang Duta Khas bertaraf Menteri, menuntut rakyat untuk membuat penilaian sejauh mana bercelarunya sikap politik pemimpin tersebut dalam mewajarkan tindak-tanduk partinya di waktu mutakhir ini.

Jelasnya, semua manusia sama ada muslim atau tidak, adalah hamba Allah yang mana semua perlu melihat dari kaca mata sesama hamba.

“Hubungan sesama muslim berasaskan kepada panduan adab sesama saudara seakidah.

“Persaudaraan adalah berasaskan kepada Al Ukhuwah Al Imaniah, atau persaudaraan berpandukan hubungan keimanan dan sesungguhnya mukmin itu bersaudara.

“Ini berpandukan kepada keterikatan mereka atas akidah yang sama dan ketetapan syariat yang sama. Sudah tentu ada keutamaan dari sudut keimanan dan penghujung kepada kehidupan di akhirat nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, Islam juga melihat dari kaca mata kemanusiaan dalam konteks hubungan di luar keimanan yang diikat dengan persaudaraan sesama insan secara umum.

Segala tanggugjawab itu katanya, dinamakan sebagai Taklif Insani di mana syariat menuntut hubungan sesama insan dipelihara atas perintah Allah supaya memuliakan sesama insan atas seruan kepada Takrim al Insan.

“Oleh kerana tiada ikatan keimanan, nilai yang mengikat persaudaraan sesama insan ialah nilai sejagat yang dipersetujui seperti menegakkan keadilan, memenuhi hak dan tuntutan serta menghormati kebebasan hak beragama masing-masing.

“Hubungan sesama insan ini tidak berwajarkan garis keimanan dan kekufuran tetapi diwajarkan atas garis nilai-nilai antara kebaikan dan kejahatan yang disepakati umum,” katanya lagi.